Perlawanan kedua kumpulan B divisyen satu, TNB Piala Tun Abdul Razak 2017 diantara Perak dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang berlangsung di Stadium Hoki Azlan Shah hari ini menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata selepas kedudukan 2-2 kekal hingga tamat perlawanan.
Bagaimanapun kedudukan seri itu tidak menggugat tuan rumah, Perak untuk terus mengungguli tangga teratas kumpulan B apabila mengumpul empat mata selepas dua perlawanan.
PDRM membuka tirai jaringan pada penghujung babak pertama menerusi Baljit Singh Sarjab Singh yang menyempurnakan kelebihan pukulan penalti selepas Muhammad Razie Abd Rahim dikasari di dalam kawasan gol.
Empat minit sebelum tamat separuh masa pertama, Perak mempunyai peluang untuk mengikat kedudukan tetapi Hafifihafiz Hanafi tidak berjaya untuk melakukan percubaan tepat dan dua minit kemudian Perak sekali lagi memiliki peluang untuk menjaringkan gol tetapi flik yang dilakukan oleh Hairul Nizam Ab Rani tersasar ke sebelah kanan pintu gol PDRM.
Peluang Perak untuk menyamakan kedudukan akhirnya muncul pada minit ke-36 selepas pukulan sudut penalti yang dihadiahkan kepada mereka dimanafaatkan dengan sebaiknya oleh Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Seminit sebelum tamat suku ketiga permainan, PDRM dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan Razie Rahim bijak menyempurnakan kelebihan tersebut dengan melakukan flik mencari sudut bawah sebelah kanan pintu gol untuk menewaskan penjaga gol Perak, Roslan Jamaluddin dan PDRM kembali dihadapan 2-1.
Disebalik kekalutan PDRM untuk bertahan, minit ke-54 Perak menyamakan kedudukan menerusi Muhamad Akmal Mohd Tajuddin yang tidak dikawal di sudut sebelah kanan pintu gol PDRM untuk kedudukan kembali terikat 2-2 dan keputusan tersebut kekal sehingga wisel penamat.
Dalam satu lagi aksi yang berlangsung di padang dua pertemuan antara Johor dan Negeri Sembilan turut menyaksikan keduda-dua pasukan menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 1-1.
Johor terlebih dahulu membuka tirai jaringan selepas Alfarico Lance Riau menjaringkan gol padang seawal minit keempat. Bagaimanapun Negeri Sembilan berjaya untuk mengikat kedudukan seminit sebelum tamat suku pertama perlawanan apabila kelebihan pukulan sudut penalti sempurnakan oleh Kevin Kartik dan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Lain-lain keputusan hari ini (7 November 2017) :
Divisyen Dua (Group A)
Selangor 7-2 Indonesia
Divisyen Dua (Group B)
ATM 1-4 Perlis dan Singapura 0-3 Kedah
Jadual perlawanan esok (8 November 2017) :
Divisyen Dua (Group A)
6.00 Petang, Padang 1: Kelantan mln Selangor
6.00 Petang, Padang 2: Thailand mln Indonesia
Divisyen Satu (Group A)
8.00 Malam, Padang 1: Terengganu mln Kuala Lumpur
8.00 Malam, Padang 2: Melaka mln Pulau Pinang









