Impian skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah untuk mencari kemenangan pertama masih belum menjelma apabila tewas 3-1 kepada Sepanyol pada perlawanan kedua peringkat kumpulan B yang berlangsung di Stadium Fallon, Brussels Belgium awal pagi tadi.
Dalam perlawanan tersebut, skuad negara terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ketiga apabila kelebihan dihadiahkan pukulan sudut penalti berjaya dimanafaatkan oleh kapten pasukan, Siti Noor Amarina Ruhani dan aksi di suku pertama tamat dengan Malaysia Tigress berjaya untuk mendahului lawan.
Bersambung suku kedua, skuad negara mendapat peluang untuk menggandakan jaringan pada minit ke-25 apabila lima pemain negara yang berada di dalam kawasan “D” lawan bertukar-tukar hantaran untuk cuba membolosi pintu gol Sepanyol sekali lagi, namun usaha mereka berjaya dipatahkan oleh banteng pertahanan lawan.
Sepanyol yang berhempas pulas untuk cuba menyamakan kedudukan berjaya memperolehi pukulan sudut penalti pada minit ke-28, bagaimanapun kelebihan tersebut gagal dimanafaatkan dengan sebaiknya.
Seperti mahu menebus kehampaan gagal menterjemahkan pukulan sudut penalti yang dimiliki terdahulu, Sepanyol terus menggandakan asakan dan kali ini Carola Salvatella yang menerima bola hantaran rakan sepasukannya, berjaya untuk memecah kebuntuan jaringan mereka menerusi gerakan padang dan separuh masa pertama tamat dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Kegairahan banteng pertahanan negara untuk menyekat Rocio Ybarra daripada menjaringkan gol mengundang padah apabila Sepanyol dihadiahkan dengan pukulan penalti stroke. Lola Riera dengan mudah menyempurnakan pukulan tersebut dan Sepanyol berada di hadapan pada minit ke-31.
Seakan tidak puas dengan jaringan menerusi pukulan penalti stroke, Lola terus meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-36 kali ini menerusi pukulan sudut penalti.
Tiga minit sebelum tamat perlawanan Sepanyol dihadiahkan dengan dua pukulan sudut penalti berturut-turut. Kepantasan larian Nor Hasliza Md Ali menidakkan pukulan pertama Sepanyol dan kegagalan untuk merancang dengan baik bagi pukulan yang kedua turut menyaksikan usaha mereka untuk menambah jaringan tidak berkesampaian. Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Skuad negara akan meneruskan perlawanan ketiga bagi saingan peringkat kumpulan menentang tuan rumah Belgium (24 Jun 2017, Sabtu jam 10 malam waktu Malaysia).









