Skuad indoor wanita bermula cemerlang di Qatar

Skuad hoki wanita indoor negara memulakan kempen Piala Asia Indoor 2017 di Doha, Qatar dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan China 15-0 dan mengikat Uzbekistan 3-3 dalam dua perlawanan pembukaan yang berlangsung di Doha, Qatar semalam.

Dalam perlawanan pertama, skuad bimbingan Iman Gobinathan tidak mempunyai masalah untuk berhadapan dengan pasukan China. Tujuh gol berjaya diledak oleh skuad negara pada separuh masa pertama dan lapan gol lagi dihasilkan pada separuh masa kedua.

15 gol dicatat oleh skuad wanita negara menerusi Nur Aisyah Yaacob yang meledak hatrik (m’2 dan m’11) menerusi pukulan sudut penalti dan minit ke-18 menerusi penalti stroke, Ellya Syahirah Ellias (m’3) menerusi jaringan padang. Noorain Mohd Arshad turut meledak hatrik pada perlawanan pertama (m’4, m’8 dan m’36), Nurliyana Mohd Kip menjaringkan gol padang (m’15). Seorang lagi pemain negara, Nurul Najah Abd Rashid turut mencatat nama selaku pemain yang menjaringkan hatrik (m’19, m’28 dan m’37) menerusi pukulan sudut penalti. Selain itu, kapten pasukan Nor Izaidah Ibrahim turut menjaringkan gol pada minit ke-28 menerusi gerakan padang dan Iren Hussin serta Qasidah Najwa Muhammad Halimi turut menjaringkan gol menerusi gerakan padang pada minit ke 29, 30 dan 31.

Aksi kedua bertemu Uzbekistan pula menyaksikan skuad wanita negara bangkit daripada ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama dan mengikat kedudukan 3-3 sehingga tamat perlawanan.

Noorain Mohd Arshad dan Nurul Najah Abd Rashid menyelamatkan maruah negara menerusi jaringan padang pada minit 33, 34 dan 39.

Sementara itu perlawanan melibatkan pasukan lelaki menyaksikan skuad negara akur dengan kehebatan Iran apabila tewas 0-11.

Skuad lelaki negara bakal turun pada perlawanan kedua  jam 6.45 petang ini waktu Qatar untuk berdepan dengan Oman.