Skuad Lelaki Tamatkan Kempen Di Kedudukan Kelima

Keputusan tewas 1-7 kepada Afrika Selatan dalam perlawanan kelima pusingan round robin, Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Piala Sultan Nazrin Shah (Lelaki) 2023 yang berlangsung di Stadium Hoki Indera Mulia, Ipoh Perak menyaksikan Malaysia menutup kempen kejohanan di kedudukan kelima.

Selepas tamat lima perlawanan pusingan round robin, Malaysia yang menjaringkan 21 gol terpaksa akur berada di kedudukan kelima selepas New Zealand yang berkongsi enam mata bersama pasukan negara mempunyai lebihan jaringan gol (27 gol) berada di kedudukan keempat, sekaligus akan beraksi di perlawanan penentuan tempat ke-3 dan ke-4 bertemu Australia

Dalam perlawanan yang berlangsung hari ini, gol tunggal Malaysia dijaringkan oleh Muhammad Firdaus Omar menerusi gerakan padang pada minit ke-37 selepas memanfaatkan kesilapan yang dilakukan penjaga gol Afrika Selatan.

Bagaimanapun ia tidak mampu untuk menidakkan kemenangan Afrika Selatan yang meledak tujuh gol hasil empat gol padang, masing-masing menerusi Steven Paulo (m-3), Luke Lange (m-10), Lungani Gabela (m-24) dan Kyle Esau (m-32).

Sementara tiga lagi gol terhasil daripada kelebihan penalti stroke dan pukulan sudut penalti yang turut menyaksikan Steven Paulo penyumbang gol penalti stroke muncul penjaring hatrik  pada minit ke-8 dan gol pukulan sudut penalti minti ke-40 sementara Justin Domleo menyudahkan kelebihan pukulan sudut penalti pada minit ke-23.

Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Kebangsaan, Mohd Hanip Che Halim, merangkumkan, banyak yang telah dipelajari oleh skuad bimbingannya pada kejohanan ini kerana pasukan-pasukan yang hadir merupakan pasukan yang cukup berpengalaman beraksi di pentas Piala Dunia.

“Pemain telah mempamerkan semangat juang yang tinggi dan di setiap bahagian mereka bekerja keras. Namun pengalaman yang dimiliki oleh lawan, menidakkan kami daripada mengekang serangan bertali arus mereka.

“Secara keseluruhan apa yang boleh saya katakana ini adalah satu perlawanan yang memberikan banyak pengajaran kepada pasukan untuk kami bawa sebagai persediaan ke Piala Asia tahun depan.

“Setiap kesilapan yang berlaku termasuk ketika melakukan hantaran bola dan beberapa bahagian lain dalam pertemuan dengan Afrika Selatan sangat berguna untuk kami memperbaiki pasukan.

“Secara keseluruhan apa yang boleh saya rumuskan mengenai penampilan kami pada kejohanan ini, pasukan yang kami temui telah memberikan satu pelajaran berguna untuk pasukan. Ini  termasuk kami dapat mempelajari corak permainan, cara mengatur strategi dan taktikal yang cukup berbeza daripada setiap negara dan ia sangat berguna untuk kami terus memperbaiki pasukan pada masa akan datang,” jelas beliau.