Sebagai persiapan terakhir Pasukan Remaja Lelaki Kebangsaan menjelang Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 yang akan berlangsung pada 11 hingga 18 Oktober 2025 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru, skuad bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin, berlepas ke China bagi menjalani aksi perlawanan persahabatan.
Siri persahabatan tersebut bermula dari 8 hingga 19 September di Liaoning, China, dengan skuad negara dijadualkan mengharungi lima perlawanan persahabatan menentang kelab Liaoning dari Dalian, Liaoning Province Hockey Team yang telah membuat penampilan di TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025.
Lima perlawanan tersebut diatur pada Rabu (10 Sept), Khamis (11 Sept), Sabtu (13 Sept), Isnin (15 Sept) dan Rabu (17 Sept) sebelum kembali pulang ke tanah air pada 18 September 2025.
Menurut Nor Saiful, pasukan yang dibawa kali ini terdiri daripada pemain-pemain yang dijangka akan diserapkan ke dalam skuad utama menjelang SOJC.
Beliau menjelaskan objektif utama siri jelajah ini adalah untuk memantapkan latihan keserasian di peringkat akhir dalam membentuk skuad terbaik.
“Objektif jelajah kali ini adalah latihan keserasian di peringkat akhir latihan, latihan memenangi perlawanan, mengukur persiapan akhir pukulan sudut penalti dalam bertahan dan menyerang.
“Keberkesanan melakukan serangan balas pantas dan bertahan apabila berdepan serangan balas pantas lawan, termasuk menguatkan mentaliti dan psikologi pemain dalam perlawanan penting,” katanya.
Tambah beliau, siri perlawanan ini juga menjadi peluang untuk memperkukuh permainan berpasukan dengan melakukan perubahan corak taktikal pada setiap perlawanan.
“Jelajah ini juga bertujuan menguatkan lagi permainan sebagai satu pasukan dengan merubah corak taktikal setiap perlawanan serta latihan mengelakkan kesilapan-kesilapan dalam kawasan D pihak lawan dan kawasan sendiri,” kata Saiful.
“Corak dan cara bermain perlu mencapai objektif kemenangan, mengurangkan kesilapan individu serta berpasukan dan mempertingkatkan tahap keyakinan setiap pemain,” jelasnya.
Dengan persediaan intensif ini, skuad remaja negara diyakini mampu mempamerkan prestasi terbaik menjelang kejohanan berprestij SOJC 2025 dan memburu kedudukan podium.
Berikut merupakan senarai 20 pemain yang mengikuti Siri Persahabatan menentang kelab Liaoning Province Hockey Team pada 8 hingga 18 September 2025.
| NO | NAMA | POSISI |
| 1 | Haziq Muizuddin b Hairul Mizan | PENJAGA GOL |
| 2 | Muaz Bashir b Shabri | |
| 3 | Azimuddin Shakir b Kamaruddin | PERTAHANAN |
| 4 | Muhammad Safwan Bin Salihe | |
| 5 | Muhammad Nabil Irfan b Mohd Yusof | |
| 6 | Mohamad Nor Syakir b Hafiz | |
| 7 | Shafiq Adam Harris b Suzaini | |
| 8 | Iman Faris b Faizo | |
| 9 | Muhammad Adam Asyraf Bin Johari | TENGAH |
| 10 | Muhammad Addy Jazmi b Jamlus | |
| 11 | Muhammad Handzalah b Abdul Hadi | |
| 12 | Ammar Qusyairi b Abd Halim | |
| 13 | Yashvindraa a/l Singaravadivel | |
| 14 | Muhammad Atif Aqil b Zubir | |
| 15 | Naveennash Panicker | PENYERANG |
| 16 | Muhammad Danish Aiman b Khairul Anuar | |
| 17 | Eswaran a/l George | |
| 18 | Shafiq Ammar Fahmi b Suzaini | |
| 19 | Mohammad Harris Iskandar Bin Osman | |
| 20 | Rahuul Fazrien b Muhammad Nazrien |
Berikut merupakan barisan kejurulatihan dan pegawai yang bersama ke Siri Persahabatan menentang Liaoning Province Hockey Team pada 8 hingga 18 September 2025.
| NO | NAMA | JAWATAN |
| 1 | Nor Saiful Zaini Nasiruddin | Ketua Jurulatih |
| 2 | Muhammad Fahmi Bin Khalid | Pengurus Pasukan |
| 3 | Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor | Penolong Jurulatih |
| 4 | Kaliswaran Muniandy | Penolong Jurulatih |
| 5 | Mohammad Hairi Abd Rahman | Jurulatih Penjaga Gol |
| 6 | Dervan V.R.Cramathandran | Fisio |
| 7 | Ammar Danial Rahmat | Masseur |
| 8 | Mohd Hanafi Hassan | Penganalis Prestasi (Video) |









