Hasrat Skuad Hoki Remaja Lelaki Kebangsaan meneruskan momentum kemenangan disekat pasukan di ranking ke-5 dunia, Belanda apabila tewas 0-6 pada aksi kedua Kumpulan E di Stadium Hoki Antarabangsa Madurai, hari ini.
Pada aksi itu, Belanda memperolehi dua jaringan awal masing-masing pada minit ke-9 dan m-10 menerusi Casper van der Veen.
Tersentak dengan gol itu, skuad Young Tigers cuba bangkit memperkemaskan permainan bagi mencari jaringan penyamaan namun buntu untuk merobek gawang Belanda.
Pada suku kedua, gawang skuad remaja dibolosi tiga lagi gol masing-masing pada minit ke-20 dan m-21 menerusi Joppe Wolbert yang menyudahkan pukulan sudut penalti (PC) serta penalti stroke sebelum Thies Bakker menambah gol pada minit ke-28 menerusi gol padang.
Bersambung suku ketiga, pada minit ke- 42 Tjeerd Boermans meledak gol keenam yang juga merupakan gol kemenangan Belanda hasil gerakan padang.
Pada suku keempat, skuad remaja terus berusaha mencari gol namun Belanda bertahan dengan baik, selain turut gagal menambah jaringan.
Ketua Jurulatih Young Tigers, Nor Saiful Zaini Nasiruddin secara keseluruhan berpuas hati dengan persembahan anak buahnya terutama pada suku ketiga dan keempat.
Jelasnya, kelebihan fizikal dimiliki Belanda nyata dimanfaat sepenuhnya oleh lawannya itu sehingga memberi kesukaran kepada pemain negara merampas bola dan mematahkan serangan mereka.
“Kita hari ini bermain dengan corak lebih bertahan kerana tidak mahu membenarkan Belanda terus berada di kawasan D kita. Namun banyak bola panjang dan pendek yang sampai kepada mereka tidak dapat dipatahkan. Mereka bijak memanfaatkan peluang untuk masuk ke kotak D dan melakukan pukulan.
“Mereka mempunyai kelebihan fizikal yang besar, menyukarkan pertahanan kita memberi tekanan. Belanda mendapatkan lima gol pada dua suku pertama ketika pemain kita masih gagal mencari rentak.
“Tetapi pada suku ketiga dan keempat, pemain mula menutup ruang dengan lebih baik hingga Belanda hanya menjaringkan satu gol. Kita juga ada beberapa peluang, termasuk satu gol dibatalkan kerana terkena kaki serta beberapa PC.
“Secara keseluruhan saya berpuas hati kerana, jika dibandingkan, pemain Belanda memang lebih baik dalam semua aspek dan mereka antara pasukan terkuat dalam kejohanan ini,” katanya selepas perlawanan.
Malaysia akan kembali beraksi pada Selasa ini bertemu England pada pukul 8.15 malam dalam aksi ketiga Kumpulan E, dengan misi meraih keputusan positif.
Selepas dua perlawanan, Belanda mendahului Kumpulan E dengan enam mata, diikuti England dan Malaysia yang berkongsi tiga mata namun England berada di tangga kedua berdasarkan rekod jaringan manakala Austria di kedudukan tercorot.
Untuk rekod, Malaysia membuka kempen Piala Dunia Remaja 2025 di Chennai dengan penuh bergaya selepas membelasah Austria 5-1 pada aksi pembukaan.









