Skuad Wanita Bangkit Cipta Kemenangan

Kebangkitan yang ditunjukkan oleh Skuad Hoki Dalam Dewan Wanita Negara dalam perlawanan terakhir pusingan round robin, Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Piala Tuanku Zara (Wanita) 2023 yang berlangsung di Stadium Hoki Indera Mulia, Ipoh Perak, menyaksikan Malaysia berjaya mencatat kemenangan 5-4 ke atas New Zealand.

Lima gol yang terhasil hari ini hasil dua gol pukulan sudut penalti yang dijaringkan oleh Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun (m-4) dan Iren Hussin (m-21) sementara tiga lagi gol merupakan jaringan padang yang disumbangkan oleh Nur Hafizah Maznan (m-16), Iren Hussin (m-31) dan Fazilla Sylvester Silin (m-36).

Kemenangan yang diraih Malaysia hari ini juga bukannya mudah apabila menerima tentangan hebat daripada New Zeland yang turut menginginkan kemenangan. Jaringan New Zealand pada perlawanan terakhir mereka hasil gol pukulan sudut penalti Hannah Cardno pada minti ke-7 diikuti tiga gol gerakan padang Tegan Buchanan (m-10) dan Jessica Kelly (m-13 dan 30).

Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Wanita Kebangsaan, Mohd Badrul Hisham Osman memuji semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh pemainnya dan tidak menjadikan alasan kepenatan untuk tidak beraksi dengan cemerlang.

“Syukur Alhamdulillah atas kemenangan hari ini. Pemain telah menunjukkan satu prestasi yang cukup membanggakan saya walaupun mereka dalam kepenatan tetapi mereka menunjukkan satu semangat juang yang cukup bagus.

“Penjaga gol utama, Farah Ayuni Yahya mengalami kecederaan dan saya membuat keputusan untuk memasukkan Azween Zureen Zahari dan penjaga gol gentian telah menunjukkan prestasi yang cukup baik.

“Walaupun ini merupakan caps pertamanya bersama pasukan kebangsaan, tetapi beliau telah beraksi dengan baik dan ini menunjukkan pasukan mempunyai pelapes penjaga gol,” ujarnya.

Pasukan wanita berjaya untuk menempatkan diri di kelompok empat pasukan terbaik dan akan beraksi di perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.