Speedy Tigers Bariskan 20 Pemain Galas Cabaran Kejohanan Hoki FIH Piala Negara-Negara 2025-26

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak, hari ini mengumumkan barisan pemain terbaik yang akan membawa cabaran Malaysia pada Kejohanan Hoki FIH Piala Negara-Negara 2025-26 di Cape Town, Afrika Selatan dari 11 hingga 20 Jun ini.

 

Jelas Dato’ Najmi, ini merupakan tugasan rasmi antarabangsa pertama skuad lelaki negara di bawah pengendali baru, Brendon Carolan, dan corak permainan berbeza serta lebih baik diharap dapat ditampilkan oleh Speedy Tigers yang turut menjadikan kejohanan ini sebagai salah satu siri persiapan menjelang Hoki Piala Dunia 2026 dan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

 

“Ini kejohanan pertama di bawah pengendali baru dan ada beberapa pemain yang dipanggil semula turut bersama pada kejohanan ini. Kami berharap agar kombinasi pemain yang baru kembali dan lama di dalam pasukan dapat membentuk satu keserasian juga mempamerkan persembahan terbaik.

 

“Kami turut berharap, pemain akan tampilkan aksi yang lebih berani serta berikan tentangan yang terbaik dalam setiap perlawanan yang akan dilalui,” jelas beliau.

 

Tiga pemain yang dipanggil semula menyertai kem latihan dan akan ke Piala Negara-Negara ialah penjaga gol, Muhamad Zaimi Mat Deris, pertahanan, Muhamad Faris Harizan dan tengah, Muhammad Addy Jazmi Jamlus.

 

Sementara Ketua jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Brendon Carolan percaya nama-nama terpilih sudah bersiap sedia untuk memberikan prestasi terbaik dalam misi membanggakan Malaysia pada kejohanan itu.

 

“Latihan berjalan baik bersama skuad yang diperluaskan seramai 34 pemain. Ini membolehkan kami mengadakan perlawanan yang kompetitif di antara kami serta memberi pendedahan kepada pemain-pemain muda dalam pasukan terhadap standard diperlukan.

 

“Cabaran kami ketika ini tertumpu sepenuhnya kepada prestasi dan standard pasukan sendiri. Antaranya untuk meningkatkan kualiti dalam bertahan serta motivasi untuk membanggakan keluarga dan para penyokong Malaysia.

 

“Matlamat kami sentiasa mahu beraksi sebaik mungkin agar dapat mencipta peluang yang positif untuk mara ke final,” katanya.

 

Di Cape Town, Speedy Tigers diletakkan dalam Kumpulan A bersama Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Scotland dengan sasaran meraih kedudukan dua terbaik untuk layak ke separuh akhir.

 

Dalam masa sama, Carolan memuji barisan staf kecergasan dan perubatan kerana memastikan pemain-pemain dalam keadaan terbaik selepas tamat saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) baru-baru ini.

 

“Tugas yang sangat cemerlang sehingga membolehkan kami membentuk skuad yang baik untuk ke Piala Negara-Negara, dan siri ujian lima perlawanan di Afrika Selatan selepas tempoh MHL yang sangat sibuk,” jelasnya.

 

Selepas tamat kempen Piala Negara-Negara, Speedy Tigers akan kekal di Afrika Selatan bagi sesi pemantapan pasukan untuk mengeratkan lagi persefahaman antara pemain sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada 14 Julai nanti.

 

Kemudian mereka akan terbang awal ke Belgium untuk kem latihan dan beberapa aksi persahabatan menjelang Piala Dunia 2026 yang akan membuka tirainya dari 14 hingga 30 Ogos.

 

Berikut merupakan senarai 20 pemain yang menggalas tanggungjawab membawa nama Malaysia di Kejohanan FIH Piala Negara-Negara.

NO NAMA POSISI
1 MUHAMMAD HAFIZUDDIN OTHMAN PENJAGA GOL
2 MUHAMAD ZAIMI MAT DERIS
3 MUHAMMAD MARHAN JALIL PERTAHANAN
4 FAIZ HELMI JALI
5 SYED MOHAMMAD SYAFIQ SYED CHOLAN
6 ANDYWALFIAN JEFFRYNUS
7 MUHAMAD FARIS HARIZAN
8 AZIMUDDIN SYAKIR KAMARUDDIN
9 MOHD FITRI SAARI TENGAH
10 NIK MUHAMMAD AIMAN NIK ROZEMI
11 SHELLO SILVERIUS
12 MUHAMMAD ADAM ASHRAF MOHD JOHARI
13 MUHAMMAD ADDY JAZMI JAMLUS
14 SYARMAN MAT TEE
15 FAIZAL SAARI PENYERANG
16 MUHAMMAD AZRAI AIZAD ABU KAMAL
17 NORSYAFIQ SUMANTRI
18 MOHAMAD ASHRAN HAMSANI
19 MOHAMAD AKHIMULLAH ANUAR ESOOK
20 MUHAJIR ABDU RAUF

 

Berikut merupakan jadual perlawanan Malaysia dalam pusingan Kumpulan A

NO HARI / TARIKH MASA (MALAYSIA) PERLAWANAN
1 KHAMIS / 11 JUN 6:15 PM MALAYSIA lwn SCOTLAND
2 JUMAAT / 12 JUN 10:45 PM MALAYSIA lwn JEPUN
3 SELASA / 16 JUN 6:15 PM MALAYSIA lwn NEW ZEALAND
4 RABU / 17 JUN 10:45 PM KOREA lwn MALAYSIA
5 JUMAAT / 19 JUN 10: 45 PM SEPARUH AKHIR 1
6 SABTU / 20 JUN 1:00 AM SEPARUH AKHIR 2
7 SABTU / 20 JUN 10: 45 PM TEMPAT KE-3/KE-4
8 AHAD / 21 JUN 1:00 AM FINAL