Speedy Tigers Bersedia Mental Dan Fizikal Hadapi Nations Cup

Pemain tengah Skuad Senior Hoki Lelaki Kebangsaan, Fitri Saari, mengakui segala kelemahan yang dilakukan di Piala Sultan Azlan Shah telah diperbaiki menjelang saingan di Kejohanan FIH Piala Negara-Negara (Nations Cup) 2023-2024 di Gniezno, Poland.

Jelasnya, keadaan pasukan cukup positif dan telah bersedia untuk menghadapi cabaran di kejohanan tersebut.

Pemain berusia 31 tahun itu, bagaimanapun menyedari kejohanan yang membuka tirai pada 31 Mei hingga 9 Jun 2024 itu akan memberi cabaran sukar kepada setiap pemain, apabila berada dalam Pool B bersama Perancis, Pakistan dan Kanada.

“Secara keseluruhan pasukan berada dalam keadaan positif dan bersedia untuk bermain di kejohanan itu. Saya juga harap segala apa yang telah dilakukan dalam sesi latihan dapat membuahkan hasil di Poland nanti.

“Kita sudah kaji apa kelemahan dan perkara perlu perbaiki selepas berakhir saingan Piala Sultan Azlan Shah sebelum ini.

“Saya harap di Poland, kita dapat meningkatkan peratusan untuk menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti dan memanfaatkan setiap peluang yang ada dengan menghasilkan gol,” katanya.

Pada edisi pertama pada 2022 menyaksikan Malaysia menamatkan kejohanan berkenaan di kedudukan keempat.

Seramai 20 pemain dibawa ke Poland dan The Speedy Tigers turut menampilkan tujuh pemain yang tidak beraksi di Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah baru-baru ini, selain lima daripada senarai pemain tersebut akan meraih caps antarabangsa pertama mereka sekiranya diturunkan.

Lima pemain berkenaan adalah Syawal Abd Razak, Muhammad Arif Syafie Ishak,  Muhamad Kamarulzaman Kamaruddin, Naaveennash Panicker Thevendran dan Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi.

Fitri turut menjelaskan bahawa, sasaran pasukan kali ini adalah mengakhiri kempen di Gniezno, Poland dengan berada dalam kelompok empat terbaik.

“Kita punya sasaran berada dalam kelompok empat terbaik tetapi ia bukanlah mudah kerana berada dalam kumpulan bersama Pakistan, Perancis dan Kanada.

“Perancis pasukan yang membuat persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris, Pakistan juga bukan lawan yang mudah, apa pun kami akan cuba beri yang terbaik di sana nanti.

“Saya harap semua peminat-peminat di Malaysia dapat mendoakan kejayaan kami di sana nanti,” katanya yang turut memberitahu bahawa pasukan Speedy Tigers akan bertolak ke Poland malam ini.

Seperti edisi lalu, walaupun setiap pasukan dibenarkan untuk membawa 20 pemain dalam Kejohanan Nations Cup, namun hanya 18 pemain akan didaftarkan sebagai pemain utama sementara dua pemain akan diletakkan di dalam senarai bersiap sedia untuk menggantikan mana-mana pemain sekiranya berlaku sebarang kecederaan.