Lima aksi ujian antarabangsa menentang Afrika Selatan bermula awal pagi esok (7 Julai, 1:00 pagi waktu Malaysia) menjadi fasa terakhir skuad senior lelaki kebangsaan selepas lebih 30 hari berkampung.
Ia medan terbaik untuk menguji perkembangan pasukan dan tahap kemajuan mereka selepas mengharungi Piala Negara-Negara 2025-26 di Cape Town dan kem pemantapan pasukan serta latihan di Durban ketika ini.
Justeru, Kapten Speedy Tigers, Muhammad Marhan Mohd Jalil mahu melihat beberapa peningkatan dari aspek permainan sebelum bermulanya Piala Dunia 2026 di Wavre, Belgium dari 14 hingga 30 Ogos nanti.
“Bagi saya ada yang perlu diperbaiki di Piala Negara-Negara sebelum ini dan semua pemain cuba secepat yang boleh untuk ikut apa yang diterapkan jurulatih kerana ini adalah kejohanan pertama di bawahnya.
“Memandangkan ada perlawanan ujian dengan Afrika Selatan, saya harap kelemahan dapat diperbaiki, peningkatan intensiti gaya permainan menyerang dan cara bertahan yang lebih baik, untuk kami perkemaskan pasukan sebelum Piala Dunia nanti,” katanya.
Speedy Tigers akan menjalani lima aksi ujian antarabangsa bermula awal pagi esok diikuti 8 Julai, 10 Julai, 11 Julai dan 12 Julai sebelum mereka pulang ke tanah air selepas menamatkan persiapan 41 hari di bumi Afrika Selatan.
Perlawanan menentang pasukan No.13 dunia itu pastinya bakal memberi input berguna buat Speedy Tigers berdasarkan prestasi Afrika Selatan yang muncul selaku naib juara Piala Negara-Negara 2025-26 baru-baru ini.
Barisan kejurulatihan yang diketuai Brendon Carolan boleh menilai kemampuan pemain, pemilihan strategi dan taktikal yang mungkin akan digunakan di Piala Dunia dan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dari 19 September hingga 4 Oktober.









