Speedy Tigers Sedia Banggakan Malaysia

Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Brendon Carolan percaya barisan pemain sudah bersedia sepenuhnya memulakan kempen Piala Dunia 2026 menentang Jerman di Arena Hoki Belfius, Belgium malam esok (15 Ogos).

 

Carolan juga menyifatkan semangat pemain pada tahap tertinggi untuk memberikan tentangan yang cukup kompetitif meskipun jurang ranking dunia agak besar dengan Jerman di tangga kelima sementara Speedy Tigers di kedudukan ke-14.

 

Menurutnya, persiapan rapi telah dijalankan selama dua bulan terakhir termasuk aksi Piala Negara-Negara 2025-26, siri perlawanan di Afrika Selatan dan kem latihan intensif di Gent, Belgium.

 

“Para pemain tidak sabar untuk memulakan kejohanan ini. Mereka telah menunjukkan aksi yang baik dan saya percaya mereka sudah bersedia sepenuhnya untuk memberikan cabaran sengit kepada Jerman.

 

“Saya juga dapat rasakan prestasi kami sekarang lebih baik berbanding di Piala Negara-Negara dua bulan setengah yang lalu. Saya yakin pemain akan beraksi kompetitif menentang Jerman yang hebat.

 

“Matlamatnya untuk bermain dengan keyakinan diri dan rasa bangga mewakili Malaysia di Piala Dunia. Saya tahu para pemain tidak sabar untuk membanggakan negara,” kata Carolan.

 

Biarpun rekod pertemuan lebih memihak kepada Jerman, namun pertembungan kali terakhir antara kedua-dua pasukan menyaksikan Speedy Tigers menang 4-2 dalam aksi Ujian Rasmi pada 2019.

 

Selepas bertemu Jerman, skuad negara akan meneruskan saingan Kumpulan B dengan menentang Perancis pada 17 Ogos diikuti satu lagi pasukan pilihan, Belgium pada 20 Ogos nanti.