Speedy Tigers Sedia Beri Cabaran di Piala Asia 2025

Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan berada pada landasan terbaik untuk memberikan saingan sengit pada Piala Asia 2025 yang dijadualkan berlangsung 29 Ogos hingga 7 September 2025 di Rajgir, Bihar India.

 

Ketua Jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh menegaskan bahawa barisan kejurulatihan sentiasa menilai beberapa aspek penting sebelum membentuk skuad akhir ke Piala Asia 2025.

 

Konsistensi prestasi, tahap kecergasan, kemampuan menyesuaikan diri dengan situasi perlawanan, disiplin serta keupayaan menyumbang kepada dinamika pasukan di dalam dan luar padang menjadi aspek penting yang sentiasa dititikberatkan oleh barisan kejurulatihan.

 

“Kami mahu pemain yang mampu mengekalkan identiti hoki Malaysia yang taktikal dan pantas, selain mempunyai kekuatan mental ketika berdepan perlawanan tekanan tinggi,” kata Sarjit.

 

Skuad kali ini turut menyaksikan pemain remaja negara, Andywalfian Jeffrynus turut tersenarai selepas mempamerkan potensi besar, malah dia memiliki kelajuan, ketenangan ketika ditekan dan kesungguhan untuk terus belajar.

 

“Andywalfian bukan sekadar penambahan untuk kejohanan kali ini, tetapi lebih kepada pelaburan jangka panjang buat hoki negara. Dia mampu memberi tenaga segar kepada pasukan dan berkembang sebagai aset penting di masa hadapan,” jelas Sarjit.

 

Pada saingan di Piala Asia 2025, Malaysia diletakkan dalam Pool B bersama Korea Selatan, Bangladesh dan Taiwan manakala Pool A menyaksikan India, Jepun, China serta Kazakhstan.

 

Dalam pada itu, beliau mengakui kejohanan Piala Asia amat penting memandangkan hanya juara akan melayakkan diri ke Piala Dunia 2026.

 

Justeru, persiapan skuad negara lebih tertumpu kepada meningkatkan kesedaran taktikal, memperkemas pelaksanaan set-piece serta membina intensiti perlawanan.

 

“Kami turut menekankan aspek pemulihan, kecergasan dan persediaan mental agar pemain benar-benar bersedia dengan tuntutan hoki bertaraf kejohanan,” ujarnya.

 

Dalam perkembangan sama, kehadiran semula pemain berpengalaman seperti Ashran Hamsani, turut disifatkan sebagai tonik berharga apabila dia dijangka memainkan peranan besar di bahagian tengah dengan kepimpinan serta pengalaman yang dimiliki, terutama ketika berdepan perlawanan getir.

 

Sarjit dalam masa sama menitipkan pesanan penting kepada barisan pemainnya agar sentiasa mempercayai proses latihan, yakin dengan rakan sepasukan dan bermain dengan penuh kebanggaan demi Malaysia.

 

“Harapan saya adalah pasukan ini kekal bersatu, berjuang untuk setiap bola dan membawa semangat Malaysia sepanjang kejohanan. Dengan mentaliti yang tepat, saya yakin kita boleh capai sesuatu yang istimewa di sana nanti,” katanya.

 

Speedy Tigers akan berlepas ke India pada Jumaat (22 Ogos) dan menjalani dua perlawanan pemanas badan yang turut dijadikan sebagai landasan menyesuaikan diri dengan venue pertandingan. Malaysia akan menetang tuan rumah India pada 25 Ogos (Isnin) dan China (27 Ogos – Rabu) sebelum mengalihkan fokus kepada kejohanan sebenar.

 

Barisan Pemain Ke Piala Kejohanan Hoki Asia Rajgir, Bihar India.

NO NAMA UMUR POSISI
1 MUHAMMAD HAFIZUDDIN BIN OTHMAN 33 PENJAGA GOL
2 MOHAMMAD RAFAIZUL BIN MOHAMAD SAINI 22
3 FAIZ HELMI BIN JALI 33 PERTAHANAN
4 MUHAMMAD MARHAN BIN MOHD JALIL 35
5 SYED MOHAMAD SYAFIQ BIN SYED CHOLAN 30
6 MUHAMMAD AMIRUL HAMIZAN BIN AZAHAR 25
7 MUHAMAD FARIS BIN HARIZAN 23
8 MUHAMMAD ARIF SYAFIE BIN ISHAK 25
9 ANDYWALFIAN JEFFRYNUS 20
10 MOHD FITRI BIN SAARI 32 TENGAH
11 NIK MUHAMMAD AIMAN BIN NIK ROZEMI 29
12 MUHAMMAD SHAFIQ BIN HASSAN 26
13 ALFARICO LANCE LIAU JR 23
14 SHELLO SILVERIUS 26
15 MOHAMAD ASHRAN BIN HAMSANI 30 PENYERANG
16 MUHAMMAD AZRAI AIZAD BIN ABU KAMAL 26
17 NORSYAFIQ BIN SUMANTRI 29
18 MUHAJIR BIN ABDU RAUF 25
19 MOHAMAD AKHIMULLAH BIN ANUAR ESOOK 25
20 MUHAMMAD NAJIB BIN ABU HASSAN 30

 

Barisan Kejurulatihan Dan Pengurusan Pasukan

1 DATO AHMAD NAJMI BIN ABDUL RAZAK PENGURUS PASUKAN
2 SARJIT SINGH A/L KUNDAN SINGH KETUA JURULATIH
3 AZRUL EFFENDY BIN BISTAMAM PEMBANTU JURULATIH DAN PENGURUS PASUKAN
4 KUMAR A/L SUBRAMIAM JURULATIH PENJAGA GOL
5 AHMAD ELDAINE BIN SUMADI PENGANALISA VIDEO
6 DEVAN A/L RAGURAJA PEMBANTU PERUBATAN
7 ABDUL THAQIF BIN ABDUL RIZAL FISIOTERAPI
8 MUHAMMAD HAFIZ BIN MOHD JAILANI MASSUER
9 THAM CHING SUEN NUTRITIONIST
10 NUR SULASTRI BINTI NASRUDDIN FISIOLOGI