Speedy Tigers Tiada Masalah Lepasi Halangan Pertama

Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan membuktikan status mereka sebagai antara pencabar utama apabila membuka kempen kelayakan Piala Dunia dengan kemenangan menyakinkan 6-1 ke atas Austria dalam aksi Kumpulan B di Ismailia, Mesir, hari ini.

 

Walaupun dikejutkan seawal minit ketiga menerusi pukulan penalti strok Fulop Losonci, Speedy Tigers tidak panik.

 

Sebaliknya, gol awal itu menyemarakkan lagi semangat juang anak buah Sarjit Singh untuk bangkit mempamerkan permainan sebenar mereka.

 

Kesabaran mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-24 apabila Azrai Aizad Abu Kamal menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang sebelum Shello Silverius meletakkan Malaysia di hadapan hasil gerakan tersusun yang memukau.

 

Memasuki suku ketiga, Malaysia semakin menggila dan giliran Norsyafiq Sumantri menambah gol menerusi penyudahan sudut penalti pada minit ke-34, diikuti jaringan kedua peribadi Azrai Aizad 10 minit kemudian yang terus meruntuhkan semangat lawan.

 

Akhimullah Anuar Esook kemudian memastikan Austria terus tertekan apabila menjaringkan gol kelima pada minit ke-52, sebelum Marhan Jalil melengkapkan pesta gol negara dengan penyudahan sudut penalti pada minit ke-57.

 

Kemenangan besar itu bukan sahaja menghadiahkan tiga mata berharga, malah menjadi suntikan moral penting buat Speedy Tigers untuk mengharungi baki saingan kumpulan.

 

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B bakal berdepan Pakistan esok sebelum melengkapkan saingan peringkat kumpulan menentang China pada Rabu ini.

 

Mengikut format pertandingan, dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir dan pemenang peringkat empat terbaik berkenaan bakal beraksi di pentas final.

 

Sementara itu, ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh, tetap mengingatkan pemain supaya tidak terlalu selesa meskipun meraih kemenangan besar dalam aksi pembukaan.

 

“Semua pemain bermain dengan baik walaupun pada awalnya kita ketinggalan 1-0. Kita cipta banyak peluang dan berjaya menjaringkan gol.

 

“Kami perlu memulakan permainan dengan baik dan memastikan pertahanan yang kukuh. Kami juga perlu memastikan setiap peluang disempurnakan dengan baik untuk menghasilkan gol.

 

“Kami juga perlu menghasilkan gol seperti dilakukan hari ini, memanfaatkan peluang yang ada dan menguasai perlawanan. Itulah yang kami lakukan. Kami mempunyai pasukan yang baik dan para pemain beraksi cemerlang,” katanya selepas perlawanan.

 

Dengan semangat juang yang dipamerkan serta ketajaman jentera serangan, Speedy Tigers jelas sudah bersedia mengaum lebih kuat dalam misi memburu tiket ke pentas dunia.