SSBJ Juniors melangkah ke final Divisyen 2 (Central) Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2026 selepas menewaskan Akademi Hoki MBPJ 2-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini (26 Jun).
Menanti di final Div 2 Central pada Ahad ini (28 Jun) adalah PPHT Thunderbolts selepas menewaskan SSN Predator Boys 4-2 dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung hari ini.
Aksi final itu untuk menentukan lawan dari kumpulan North bakal dihadapi SSBJ Juniors dan PPHT Thunderbolts di peringkat separuh akhir nanti dengan pemenang akan layak ke Piala TNB sekali gus layak ke Divisyen 1 MJHL tahun depan.
Bagi ketua jurulatih SSBJ Juniors, Che Mohd Nasa’i Che Ramli, beliau berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan anak-anak buahnya yang mana mereka terkandas di suku akhir musim lalu.
“Ini adalah pasukan pembangunan dan kita tiada pemain yang berumur 18 atau 19 tahun, purata pemain kita dalam 16 tahun. Namun, kita tetap letakkan sasaran untuk layak ke Divisyen 1.
“Setakat ini saya anggap ia satu pencapaian sebab kita dah melepasi tahap yang sepatutnya. Pemain-pemain memang tengah bersemangat untuk mengejar gelaran juara tahun ini (Divisyen 2).
“Jadi misi kita belum selesai kerana apa yang penting adalah separuh akhir pada 1 Julai nanti. Kita ada cukup-cukup 18 pemain, jadi saya harap tiada pemain kita yang alami kecederaan,” katanya.
Dua gol SSBJ Juniors ke atas Akademi Hoki MBPJ diperoleh menerusi jaringan padang Muhammad Aqeef Firdaus Adi Saifullizam dan pukulan sudut penalti (PC) Muhammad Hakim Suhaimi pada minit ke-41 serta 45.
PPHT Thunderbolts pula mara ke final Div 2 Central melalui dua jaringan PC daripada Muhammad Aqil Farish Mohd Fadli pada minit keempat dan 14.
Dua lagi jaringan skuad bimbingan Muhammad Syukuri Mazlan itu diraih hasil gol padang Muhammad Akmal Zafri Mohd Sukri dan Muhammad Aizat Muhammad Akhera pada minit ke-26 serta 47.
SSN Predator Boys berputih mata apabila sekadar menjaringkan dua gol menerusi Muhammad Zakirin Abd Rahim dan Khalis Ierfan Farizal pada minit ke-24 serta 44.









