Sukri: Tekanan Adalah Cabaran Untuk Kami Mencipta Kejayaan

Kapten pasukan kebangsaan, Sukri Mutalib percaya skuad Malaysian Tigers sudah bersedia untuk mencipta kejayaan di halaman sendiri pada Kejohanan FIH Siri Akhir Lelaki Kuala Lumpur 2019 yang akan membuka tirai Jumaat ini hingga 4 Mei 2019.

Menurut Sukri yang baru pulih daripada kecederaan jari kanan, biarpun dia dan rakan-rakan merasai tekanan namun mereka sudah matang untuk menghadapi situasi tersebut.

Dia berkata, “Sasaran memang tinggi dan tekanan memang ada namun itu adalah satu cabaran untuk kami. Pasukan juga pernah menghadapi situasi sama seperti di Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London.”

“Ketika itu pemain juga tertekan tetapi kami bersama-sama mengharunginya sebagai satu pasukan dan akhirnya kami ke Piala Dunia. Saya percaya kami mampu hadapi tekanan dengan baik sekaligus mencapai sasaran kami,”kata Sukri selepas sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Tonggak pertahanan negara itu juga mahu dia dan rakan sepasukan mendapatkan keputusan positif dalam aksi pertama bertemu Brazil namun tidak sesekali memandang rendah kemampuan pasukan lawan.

“Pasukan memang berusaha keras semasa latihan untuk memperbaiki kelemahan yang kita ada. Sekarang bukan lagi proses untuk belajar namun ianya untuk membuktikan sesuatu atas padang. Kita perlu capai sasaran. Sebelum kejohanan bermula kita perlu melihat ke hadapan apa yang kita mahukan.”

“Bertemu Brazil untuk aksi pertama, pada saya kita perlu menang untuk meningkatkan keyakinan. Apa cara sekalipun kita perlu menang untuk meningkatkan motivasi dan dalam masa yang sama, kita tidak mahu pasukan terumbang-ambing dengan keputusan yang negatif.”ujar Sukri.

Di samping itu, Sukri turut mengharapkan sokongan padu daripada penyokong tempatan bersama-sama memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan.

“Memandangkan kita akan beraksi di gelanggang sendiri, saya harap sokongan padu daripada penyokong akan memberi tonik tambahan untuk mencapai sasaran. Pada semua peminat, datanglah memberi sokongan pada pasukan kebangsaan kerana kami begitu memerlukan anda,”kata Sukri.

Selain daripada Brazil, pasukan negara yang diletakkan dalam kumpulan B akan bertemu Itali dan juga China yang berada dalam kumpulan sama. Satu lagi kumpulan A pula terdiri daripada pasukan Kanada, Austria, Wales serta Belarus.

Malaysia perlu mara ke final untuk membolehkan mereka mendapat undian yang lebih mudah berdasarkan ranking pasukan selepas ini bagi memudahkan lagi laluan dalam kempen kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Turut hadir untuk sidang media rasmi menjelang Kejohanan FIH Siri Akhir 2019 adalah ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans dan pengurus pasukan, Stephen van Huizen.