Terengganu Terus Gah, Selangor Buntu Tiga Perlawanan Berturut-turut

Saingan hari ketiga Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2025 terus menyajikan aksi menarik apabila Terengganu mengekalkan rekod cemerlang manakala Selangor terus kemarau tanpa sebarang kemenangan.

 

Dalam aksi Kumpulan A kategori lelaki di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, juara bertahan Terengganu sekali lagi menunjukkan kehebatan apabila mudah menundukkan PDRM 4-1.

 

Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan mereka selaku pasukan pilihan utama untuk mara lebih jauh dan mempertahankan kejuaraan edisi kali ini walaupun tanpa tujuh pemain utama yang bersama skuad kebangsaan.

 

Perlis pula berjaya menumpaskan Kedah 7-5 dalam perlawanan penuh dramatik yang menyaksikan 12 jaringan terhasil, menjadikan ia antara aksi paling rancak setakat ini.

 

ATM bagaimanapun dikecewakan Kuala Lumpur selepas tunduk 0-2, sekaligus menamatkan momentum kemenangan yang dicatat mereka dalam dua perlawanan awal.

 

Dalam Kumpulan B, Selangor terus bergelut apabila tewas 0-2 di tangan Perak, menjadikan ia kekalahan ketiga berturut-turut. Kekalahan itu sekaligus menimbulkan persoalan mengenai kemampuan mereka untuk bangkit dalam baki perlawanan.

 

Pahang turut tampil meyakinkan dengan kemenangan 3-1 ke atas Negeri Sembilan, manakala Melaka mengesahkan keampuhan barisan mereka apabila menundukkan Pulau Pinang 3-0.

 

Bagi saingan wanita, skuad muda negara Young Tigress mengekalkan rentak kemenangan apabila menewaskan Kuala Lumpur 4-1 dalam aksi Kumpulan A, sekali gus mengukuhkan reputasi mereka sebagai pasukan pilihan utama kejohanan.

 

Dalam perlawanan lain kumpulan sama, Melaka tidak berdepan masalah mengetepikan Negeri Sembilan dengan kemenangan selesa 4-0, manakala aksi Kumpulan B menyaksikan Pulau Pinang mencatat kemenangan sulung selepas menewaskan Terengganu 2-0.

 

Kejohanan edisi ke-63 bagi kategori lelaki dan edisi ke-10 bagi wanita ini sekali lagi membuktikan kehangatannya, bukan sekadar perebutan gelaran berprestij tetapi juga menjadi pentas penting untuk menilai bakat baharu yang berpotensi diserap ke dalam skuad kebangsaan.

 

Dengan keputusan setakat ini yang sarat dengan kejutan dan jaringan besar, para peminat boleh menjangkakan lebih banyak aksi sengit serta dramatik menjelang perlawanan-perlawanan berikutnya sehingga kejohanan melabuhkan tirai pada 11 Oktober ini.