Terengganu, Young Tigress Pertahan Kejuaraan TNB Piala Tun Abdul Razak 2025

Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2025 melabuhkan tirainya dengan menyaksikan juara bertahan, Terengganu dan Young Tigress, masing-masing berjaya mengekalkan kejuaraan dalam kategori lelaki dan wanita pada aksi final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

 

Dalam final kategori lelaki yang penuh berintensiti tinggi, Terengganu menampilkan keampuhan luar biasa apabila menundukkan Pahang 4-2, sekali gus mempertahankan gelaran yang dimenangi musim lalu.

 

Pasukan Pantai Timur itu terpaksa menunggu hingga suku kedua untuk membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee pada minit ke-19. Rentak itu diteruskan oleh penyerang berpengalaman, Faizal Saari, yang menyempurnakan pukulan penalti stroke pada minit ke-23 sebelum menambah satu lagi jaringan lima minit kemudian hasil gerakan padang yang kemas.

 

Memasuki suku ketiga, skuad bimbingan Mohd Harfizi Baharom terus menekan lawan apabila Darwisy Hamdan menambah jaringan keempat pada minit ke-36 untuk menjadikan kedudukan 4-0.

 

Pahang bagaimanapun enggan menyerah mudah apabila berjaya merapatkan kedudukan menerusi penalti stroke Muhammad Syawal Abdul Razak (m-42) dan pukulan sudut penalti Tengku Nasrul Ikmal Tengku Abd Rahim (m-52), namun kebangkitan itu hadir terlalu lewat untuk menghalang kemenangan Terengganu.

 

 

Dalam aksi penentuan tempat ketiga, Melaka mencipta kebangkitan dramatik di suku terakhir untuk menundukkan ATM 3-2, sekali gus menamatkan kejohanan di tangga ketiga.

 

Sementara itu, saingan wanita turut menyajikan debaran apabila Young Tigress perlu melalui detik mencemaskan sebelum menundukkan Selangor 3-1 menerusi penentuan penalti shoot-out bagi mengekalkan kejuaraan edisi ke-10.

 

Aksi selama 60 minit menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan dengan keputusan kekal 0-0 sehingga tamat masa permainan sebenar.

 

Namun, kecekapan barisan muda kebangsaan itu di depan gawang menjadi pemisah yang memastikan trofi berprestij terus kekal dalam genggaman mereka.

 

Bagi penentuan tempat ketiga kategori wanita, Pahang berjaya menundukkan Melaka 2-1, melengkapkan podium Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak edisi ke-63 (Lelaki) dan edisi ke-10 (Wanita) yang sekali lagi memperlihatkan keunggulan pasukan-pasukan terbaik tanah air.

 

Kejayaan Terengganu mempertahankan kejuaraan membuktikan kekuatan struktur pembangunan hoki negeri itu yang semakin kukuh, berteraskan gandingan pemain berpengalaman seperti Faizal Saari dan bakat muda yang semakin menyerlah.

 

Keupayaan mereka mengekalkan prestasi konsisten sepanjang kejohanan menunjukkan kesinambungan dan kestabilan yang jarang dimiliki pasukan lain.

 

Bagi Young Tigress, kejayaan mengekalkan trofi bukan sekadar simbol keunggulan pasukan muda kebangsaan, tetapi juga menandakan hala tuju positif program pembangunan hoki wanita negara.

 

Kejayaan ini juga pasti menyuntik semangat mereka untuk beraksi di Piala Dunia Remaja 2025 di Santiago, Chile, awal Disember ini.

 

Selain itu, ia membuktikan pemain muda negara bakal menjadi nadi skuad senior, sekali gus membuktikan keberkesanan pelan jangka panjang Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam membentuk generasi pelapis.

 

Keseluruhannya, tirai TNB Piala Tun Abdul Razak 2025 menutup musim dengan penuh dramatik dan berkelas tinggi, sekali gus mengambarkan bahawa hoki Malaysia terus berada di landasan tepat bukan sahaja sebagai sukan yang disegani, tetapi juga sebagai medan pembentukan bintang masa depan negara.