TNB Piala Tun Abdul Razak 2017: Perak, Negeri Sembilan Lengkapkan Slot Separuh Akhir Divisyen Satu

Kemenangan 5-2 Negeri Sembilan ke atas finalis tahun lalu, PDRM menobatkan mereka selaku naib juara kumpulan B, sekaligus membawa mereka ke pentas separuh akhir Divisyen Satu, TNB Piala Tun Abdul Razak 2017 yang berlangsung di padang satu Stadium Hoki Azlan Shah Ipoh Perak hari ini.

Turut melangkah ke perlawanan separuh akhir selaku juara kumpulan B ialah tuan rumah Perak yang terus mengungguli kedudukan teratas kumpulan walaupun diikat lawan mereka Johor, 1-1.

Negeri Sembilan terlebih dahulu membuka tirai jaring menerusi tindakan susulan Kevin Kartik yang bijak untuk menggunakan tepisan bola oleh penjaga gol PDRM, Zaidi Ibrahim ketika cuba untuk menyelamatkan pintu gol saat Negeri Sembilan memiliki pukulan sudut penalti pada minit ke-10.

Negeri Sembilan terus menggandakan jaringan kali ini menerusi gerakan padang Manraj Singh Sarjit Singh pada minit ke-21.
Tersentak dengan jaringan tersebut, PDRM menggandakan asakan dan usaha mereka berhasil apabila Muhammad Razie Abd Rahim yang berada di sudut sebelah kiri pintu gol Negeri Sembilan berjaya untuk merapatkan jurang 2-1.

Namun beberapa saat selepas jaringan Razie, Negeri Sembilan kembali melebarkan kedudukan menerusi gol padang Dangerous Lee anak Mathew dan keputusan 3-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Tiga minit selepas bersambung separuh masa kedua Negeri Sembilan terus melebarkan jurang jaringan apabila tindakan susulan Mohd Marhan Mohd Jalil ketika Negeri Sembilan dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti menjadikan kedudukan 4-1.

PDRM bagaimanapun dihidangkan dengan beberapa peluang terbaik untuk menggandakan jaringan menerusi pukulan sudut penalti, namun kehebatan penjaga gol Negeri Sembilan, S. Kumar menidakkan peluang PDRM untuk menambah jaringan.

Dua minit sebelum tamat masa sebenar perlawanan, Kevin Kartik terus memastikan tempat Negeri Sembilan di pentas separuh akhir apabila meledak gol kelima menerusi pukulan sudut penalti dan beberapa saat sebelum tamat masa perlawanan sebenar, PDRM menerusi Baljit Singh Sarjab Singh menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk mengubah kedudukan 5-2 dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.

Dalam pada itu perlawanan yang berlangsung di padang dua antara Perak dan Johor menyaksikan Perak mara ke perlawanan separuh akhir walaupun diikat Johor 1-1. Jaringan tunggal Perak disumbangkan oleh Muhammad Najib Abu Hassan menerusi pukulan sudut penalti dan empat minit sebelum tamat perlawanan, Johor menyamakan kedudukan hasil gol pukulan sudut penalti Mohd Nor Aqmal Abdul Gaffar.

Sementara dalam divisyen dua, Pahang yang yang muncul selaku naib juara selepas menewaskan Thailand 5-1 akan mengiringi Selangor ke perlawanan separuh akhir sebagai wakil kumpulan A, manakala wakil kumpulan B menyaksikan Perlis dan ATM melengkapkan empat pasukan yang akan berentap di pentas separuh akhir divisyen dua.

Lain-lain keputusan hari ini (9 November 2017) :
Divisyen Dua (Group A)
Thailand 1-5 Pahang

Divisyen Dua (Group B)
Perlis 4-1 Kedah dan ATM 5-2 Singapura

Berikut merupakan jadual perlawanan esok (10 November 2017) :

Perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga lapan.

Divisyen Dua
4.00 petang, Padang 1: Kelantan mln Singapura
4.00 petang, Padang 2: Kedah mln Indonesia

Divisyen Satu
6.00 petang, Padang 1: Pulau Pinang mln PDRM
6.00 petang, Padang 2: Johor mln Kuala Lumpur

Perlawanan separuh akhir Divisyen Dua
8.00 malam, Padang 1: Selangor mln ATM
8.00 malam, Padang 2: Perlis mln Pahang