Ketua jurulatih Young Tigers, I. Vikneswaran enggan meletakkan sebarang tekanan ke atas anak-anak buahnya menjelang Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 edisi ke-12, pada 18 hingga 26 Oktober ini kerana sasaran sebenar skuad muda negara itu adalah pada Piala Remaja Asia di Muscat, Oman, November ini.
Beliau berkata, seramai 20 pemain yang disenaraikan untuk SOJC kali ini, sembilan daripadanya pernah beraksi pada edisi lalu dan enam pemain lagi berusia 21 tahun.
“Sasaran sebenar kita ialah pada Piala Remaja Asia yang merupakan kelayakan untuk ke Piala Remaja Dunia di India, tahun depan dan SOJC merupakan salah satu kejohanan yang memberi pendedahan kepada pemain.
“Saya kalau boleh enggan memberi sebarang tekanan yang tidak sewajarnya kepada pemain kerana saya mahu mereka fokus dan bermain dengan baik sewaktu di dalam padang, itu yang paling penting,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
Menurut Vikneswaran, walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran yang spesifik, beliau tetap mahu para pemainnya memburu kemenangan dalam setiap perlawanan yang mereka harungi.
Jelasnya, beliau mahu anak-anak buahnya itu mengamalkan prinsip ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’, justeru, mereka perlu berganding bahu untuk sama-sama menghasilkan keputusan terbaik.
“Sasaran kita ialah bermain dalam setiap perlawanan dan mempamerkan kualiti permainan bermutu tinggi kerana dalam SJOC pencabar yang bakal berdepan dengan pasukan kita bukanlah calang-calang lawan.
“Saya lebih sukakan satu tekanan yang positif untuk pemain dan saya mahu mereka terjemahkan sewaktu berada di atas padang, itu yang paling penting,” ujarnya.
Vikneswaran memberitahu, dalam aksi pembukaan, skuad bimbingannya itu bakal berdepan New Zealand, sebelum bertemu Jepun, India, Great Britain dan Australia.
“Kita tidak pernah melihat pasukan New Zealand bermain, jadi, ini kali pertama kita akan jumpa mereka, sudah tentu kita mahukan keputusan berpihak kepada kita, begitu juga dalam perlawanan menentang Jepun, kita perlu beri aksi yang konsisten,” tegasnya.
Mengulas lanjut mengenai persiapan menjelang SOJC, beliau berkata, para pemain sempat mengadakan tiga sesi latihan bersama legenda Pakistan yang kini merupakan Penolong Jurulatih Skuad Bebangsaan, Sohail Abbas.
“Kami sempat menjalani tiga sesi latihan bersama Sohail, tetapi, malangnya kehadiran beliau begitu hampir dengan SOJC. Tidak banyak yang para pemain dapat, jika, beliau datang lebih awal ketika kami dalam fasa pembangunan pasukan, perubahan mampu dibuat,” tambahnya.
Ketika ditanya pula mengenai barisan pemain yang terpilih ke SJOC akan dikekalkan atau sebaliknya, Vikneswaran menjelaskan, pasukan kejurulatihan akan melakukan penilaian semula selepas kejohanan di Johor Bahru itu.
“Kita akan nilai semua pemain-pemain ini, kita mahu lihat sejauh mana mereka mampu mengendalikan situasi yang menekan,” katanya.
Berikut merupakan senarai 20 pemain Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan yang bakal beraksi di Kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) 2024
| NO | NAMA | POSISI | UMUR |
| 1 | Mohamad Rafaizul Mohamad Saini | Penjaga Gol | 21 |
| 2 | Khairul Amirin Mohd Kamarul Azlan | Penjaga Gol | 19 |
| 3 | Muhammad Danish Afnan Mohd Faizal | Penjaga Gol | 21 |
| 4 | Andywalfian Jeffrynus | Pertahanan | 19 |
| 5 | Mohamad Zulhanif Safran | Pertahanan | 21 |
| 6 | Muhammad Aqil Danial Mat Ruslee | Pertahanan | 19 |
| 7 | Disairul Fazrien Muhammad Nazrien | Pertahanan | 21 |
| 8 | Muhammad Nabil Irfan Mohd Yusof | Pertahanan | 18 |
| 9 | Muhammad Khairul Norizam | Tengah | 20 |
| 10 | Muhammad Danish Danial Abdul Wahab | Tengah | 21 |
| 11 | Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari | Tengah | 18 |
| 12 | Muhammad Addy Jazmi Jamlus | Tengah | 20 |
| 13 | Muhammad Handzalah Abdul Hadi | Tengah | 20 |
| 14 | Aiman Safwan Hisham | Tengah | 19 |
| 15 | Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar | Penyerang | 20 |
| 16 | Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar | Penyerang | 21 |
| 17 | Mohammad Harris Iskandar Osman | Penyerang | 20 |
| 18 | Azimuddin Syakir Kamaruddin | Penyerang | 20 |
| 19 | Muhammad Yadiy Mohamad Saifuddin | Penyerang | 20 |
| 20 | Naaveennash Panicker | Penyerang | 19 |
Berikut merupakan barisan Pengurusan dan Kejurulatihan yang akan bersama ke Kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) 2024.
| NO | NAMA | POSISI |
| 1. | En Ganesh Shanmugam | Pengurus Pasukan |
| 2. | I. Vikneswaran | Ketua Jurulatih |
| 3. | Mohammad Hairi Abd Rahman | Penolong Jurulatih |
| 4. | Hanafi Hassan | Penolong Jurulatih |
| 5. | Chairil Anwar A Aziz | Penolong Jurulatih |
| 6. | Sohail Abbas | Penolong Jurulatih |
| 7. | John Archbold | Jurulatih Kecergasan |
| 8. | Dervan V.A Ramachandran | Fisioterapi |
| 9 | Ammar Danial Rahmat | Masseur |
Berikut merupakan jadual perlawanan Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan di Kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 dalam pusingan round robin.
| NO | HARI / TARIKH | MASA | PERLAWANAN |
| 1. | SABTU : 19 OKTOBER 2024 | 8:35 MALAM | MALAYSIA lwn NEW ZEALAND |
| 2. | AHAD : 20 OKTOBER 2024 | 8:35 MALAM | JEPUN lwn MALAYSIA |
| 3. | SELASA : 22 OKTOBER 2024 | 8:35 MALAM | MALAYSIA lwn INDIA |
| 4. | RABU : 23 OKTOBER 2024 | 8:35 MALAM | GREAT BRITAIN lwn MALAYSIA |
| 5. | JUMAAT : 25 OKTOBER 2024 | 8:35 MALAM | MALAYSIA lwn AUSTRALIA |









