Malaysia membuka kempen Piala Dunia Remaja 2025 di Madurai, India dengan penuh bergaya apabila membelasah Austria 5-1 pada aksi pembukaan Kumpulan E di Stadium Hoki Antarabangsa Madurai, hari ini.
Pada aksi itu, suku pertama menyaksikan perlawanan agak seimbang antara kedua-dua pasukan apabila tiada jaringan terhasil namun penantian Young Tigers akirnya tiba pada minit ke-28 menerusi penyudah pukulan sudut penalti oleh Muhammad Harris Iskandar Osman.
Kem negara terus bersorak gembira apabila Muhammad Adam Asyraf Mohd Johari menggandakan kedudukan hasil gol padang pada minit ke-47, disusuli penyudah Naaveennesh Panicker lapan minit kemudian selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti bagi meletakkan Malaysia mendahului 3-0.
Austria cuba bangkit selepas Julian Kaiser menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-56 namun Muhammad Danish Aiman Khairul Anuar menyentap semangat juang lawan apabila meledak dua gol padang masing-masing pada minit ke-56 dan m-57 sekali gus menghadiahkan kemenangan bergaya buat Malaysia.
Pengendali Young Tigers, Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengakui berpuas hati dengan disiplin serta pendekatan taktikal yang dituruti pemain dengan baik selepas menewaskan Austria.
Jelasnya, kemenangan itu hadir hasil perancangan rapi anak buahnya menutup kekuatan utama Austria yang banyak bergantung pada bola panjang dan situasi satu lawan satu, namun pemain negara berjaya mematahkan cubaan tersebut dengan baik sepanjang perlawanan.
Tambah Nor Saiful, kestabilan benteng Malaysia turut menjadi faktor kemenangan apabila pemain berjaya mengekang Austria di kawasan berbahaya.
“Kita memang turun dengan sasaran tiga mata. Cara Austria bermain hari ini banyak bergantung pada bola panjang, tetapi kita berjaya tutup kelebihan itu. Cabaran bola panjang, situasi satu lawan satu—banyak yang kita berjaya neutralisasikan.
“Sebab itu permainan nampak lebih mudah. Kita dapat tutup pertahanan mereka dengan baik dalam jarak 16 hingga 25 ela. Kita mengepung, menolak mereka masuk ke dalam kotak D mereka sendiri. Itu satu perkembangan positif dan membuktikan pemain bermain dengan baik hari ini,” katanya selepas perlawanan.
Mengulas persiapan menjelang pertembungan getir menentang Belanda, esok pada pukul 6.15 petang (waktu Malaysia), beliau mengakui ia bukan tugas mudah, apatah lagi Belanda adalah antara pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan.
Nor Saiful berharap pemain dapat tampil dengan lebih disiplin dalam bertahan, memandangkan Belanda terkenal dengan kepantasan dan kualiti serangan.
“Kita bermain mengikut karakter pasukan lawan. Esok kita jumpa Belanda, satu pasukan yang sangat kuat dan menjadi pilihan kejohanan. Mereka jauh berbeza daripada Austria. Apa yang penting sekarang ialah pemain mendapat rehat yang cukup.”
“Esok mereka (pemain) perlu lebih bertahan, lakukan ‘man-to-man marking’ dan jangan biarkan situasi satu lawan satu atau tiga lawan dua berlaku. Pemain mesti sentiasa melekat pada lawan, jangan bocor di belakang,” ujarnya.
Katanya lagi, Malaysia tidak boleh memberi ruang kepada Belanda untuk menghampiri kawasan D, selain perlu mengelakkan kehilangan bola mudah.
“Belanda ini bagi saya antara yang terbaik di dunia. Mereka mahir di setiap sudut menyerang bagus, bertahan pun bagus. Jadi kita tak boleh buka ruang besar, kena sentiasa rapat dan jangan benarkan mereka dekat dengan kotak D. Elakkan hilang bola kerana itu akan beri mereka peluang menguasai permainan,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan bahawa fokus utama ketika ini ialah pemulihan pemain bagi memastikan Malaysia dapat memberikan tentangan sengit dalam aksi penting menentang Belanda.
Penyertaan Malaysia dalam kumpulan yang dianggap antara ‘kumpulan maut’ bersama kuasa besar Eropah iaitu Belanda, England dan Austria menjadikan setiap perlawanan bersifat hidup mati, apatah lagi edisi kali ini menampilkan format baharu membabitkan 24 pasukan.
Dalam edisi lalu, Malaysia menamatkan kempen di tangga ke-12 daripada 16 pasukan, manakala Jerman muncul juara dan rekod itu menjadi peringatan jelas mengenai cabaran besar yang menanti Young Tigers, namun skuad muda negara dilihat hadir dengan keyakinan baharu.









