Kemenangan 3-0 ke atas pasukan Jepun bawah 21 tahun (B21) dalam siri Jelajah Jepun di Gifu hari ini amat menggembirakan Ketua Jurulatih Skuad Hoki Remaja Lelaki Kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin.
Ini disebabkan barisan pemain berjaya menunjukkan beberapa peningkatan yang dimahukannya terutama bagaimana cara untuk mengatasi corak permainan Jepun B21.
Hasilnya, Young Tigers berjaya merakam kemenangan kedua ke atas Jepun B21 dan lebih manis apabila kali ini gawang mereka langsung tidak dibolosi oleh lawan.
“Ini perlawanan keempat kita di sini, nampak peningkatan dalam beberapa aspek terutamanya keserasian, kawalan pemain dan kelajuan bola untuk tewaskan pihak lawan. Kunci kejayaan hari ini juga adalah kita sudah tahu cara Jepun bermain.
“Kita perlu terus laksanakan cara hoki moden dari segi kepantasan permainan, jangan hilang bola di bahagian tengah supaya dapat elak daripada pihak lawan melakukan serangan balas.
“Dalam masa sama, kita kena cuba cari peluang banyakkan bola di kawasan D lawan dan nampak berjaya hari ini walaupun Jepun bukanlah satu pasukan yang mudah untuk kalahkan mereka,” katanya.
Tiga gol Young Tigers hari ini diperoleh menerusi jaringan padang Harith Afi Rishamuddin pada minit ke-35 dan dua pukulan sudut penalti (PC) daripada Nabil Irfan Yusof (m-44) serta Shafiq Ammar Fahmi Suzaini (m-50).
Kemenangan itu secara tidak langsung meningkatkan keyakinan barisan pemain untuk meneruskan kecemerlangan yang sama dalam aksi terakhir menentang Jepun B21 esok pagi.
“Pasukan perlukan tingkatkan keyakinan untuk memudahkan mereka bermain dengan mana-mana pasukan. Siri jelajah ini antara latihan dan persiapan mereka, jadi ia sangat membantu,” tambah Nor Saiful.









