Young Tigress Belasah Bangladesh 6-1

Skuad hoki remaja wanita Malaysia membelasah Bangladesh 6-1 dalam perlawanan ketiga Kumpulan A pada Piala Remaja Wanita Asia 2024 di Stadium Hoki Al Amarat, Muscat, Oman, hari ini.

 

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad bimbingan Lailin Abu Hassan itu mengumpul enam mata penuh untuk berada di kedudukan ketiga kumpulan di belakang China selaku pendahulu dan India di tangga kedua.

 

Penyerang Young Tigress berusia 19 tahun, Zati Alyani Muhammad Zubir melakar hatrik pada minit ke-8, ke-30 dan ke-41 menerusi pukulan sudut penalti serta jaringan padang meletakkan Malaysia selesa di depan 3-0.

 

Berselang tiga minit selepas itu, giliran Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi pula melebarkan lagi kedudukan kepada 4-0 melalui jaringan padang.

 

Malaysia terus melipat gandakan asakan dan kali ini giliran Nurshamine Azureen Mohammed Badusha menyumbat gol kelima juga melalui jaringan padang pada minit ke-45.

 

Bagaimanapun, kesilapan dilakukan benteng pertahanan Young Tigress menyaksikan pintu gol skuad negara yang dikawal Nur Hazlinda Zainal Abidin akhirnya berjaya dibolosi Bangladesh melalui Pal Orpita pada minit ke-49 setelah pengadil menghadiahkan penalti stroke kepada pasukan lawan.

 

Kedudukan 5-1 tidak kekal lama apabila Noor Asyiqin Syakirah Noor Hisyam menjaringkan gol keenam Malaysia yang disempurnakan menerusi gol padang pada minit ke-53.

 

Young Tigress menutup aksi mereka dengan keputusan 6-1 dan Zati Alyani dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.

 

Esok, skuad remaja negara bakal menghitung pertemuan dengan satu lagi pasukan gergasi Asia, China dan walaupun sukar, Young Tigress tidak mempunyai pilihan perlu mengerah keringat mereka bagi memburu kemenangan jika berhajat mara ke separuh akhir.

 

Pencapaian terbaik Young Tigress dalam penyertaan mereka pada Piala Remaja Asia ialah sama ada di tangga kelima ataupun keenam.

 

Sekiranya keputusan di luar dugaan berjaya mereka catat berdepan China, esok, maka, anak-anak buah, Lailin bakal melakar sejarah melangkah ke peringkat empat terbaik buat kali pertama dan sekali gus, melayakkan diri ke Piala Remaja Dunia 2025 di Santiago, Chile pada Disember tahun depan.

 

Lailin ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, matlamat untuk mencatat tiga mata penuh berjaya dicapai, walaupun, ada serba sedikit kekurangan yang dipamerkan anak-anak buahnya.

 

“Tetapi mereka telah menunjukkan semangat yang tinggi mengalahkan pasukan Bangladesh pada malam ini.

 

“Untuk, esok, menentang China kita akan lebih fokus dan matlamat kita ialah bagaimana hendak bermain seperti kita bertemu India, kita harus lebih berhati-hati terutamanya pada separuh masa kedua,” katanya.

 

Mengulas mengenai peluang skuad bimbingannya layak ke Piala Dunia Remaja, tahun depan, beliau yakin para pemain akan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan dan berharap mereka lebih yakin dengan diri sendiri.

 

Untuk kelayakan ke Piala Dunia Remaja, Young Tigress perlu memastikan mereka menamatkan saingan pada kejohanan ini di dalam kelompok lima terbaik.