Young Tigress Berpesta Gol, Peluang Ke Piala Dunia Remaja Cerah

Peluang Skuad Hoki Remaja Wanita Malaysia melayakkan diri ke Piala Remaja Dunia di Santiago, Chile, Disember tahun depan tampak cerah selepas mara ke perlawanan penentuan tempat ke-5/6 menentang Thailand pada Piala Remaja Asia Wanita 2024 di Stadium Hoki Al Amarat, Muscat, Oman, esok.   Hari ini, Young Tigress berpesta gol selepas membelasah Hong Kong 11-0 dalam aksi penentuan tempat ke-5/8 dan kejayaan tersebut membuka laluan buat Malaysia bagi merebut tempat kelima yang turut menawarkan slot terakhir ke Piala Dunia Remaja 2025.   Skuad bimbingan Lailin Abu Hassan itu tidak perlu menunggu lama untuk membuka tirai jaringan, apabila Azmyra Mia Sofea Azhairy menghasilkan gol padang seawal minit keempat dan penyerang tersebut mencipta hatrik apabila menyumbat dua gol lagi pada minit ke-16 dan ke-28.   Lapan gol lagi Young Tigress disempurnakan oleh Nurshamine Azureen Mohammed Badusha (minit ke-5), Nurdini Batrisyia Mohd Ridzuan (minit ke-17), Anith Humaira Baharudin yang turut mencipta hatrik (minit ke-20, ke-45, ke-49), sementara Noor Asyiqin Syakirah Noor Hisyam (minit ke-30, ke-39) dan Siti Nur Irdina Mohd Nor (minit ke-54).   Kemenangan selesa itu menemukan Young Tigress sekali lagi dengan Thailand yang berhasil menewaskan Taiwan 2-1 dalam satu lagi perlawanan penentuan ke-5/8.   Thailand yang diundi bersama dengan skuad negara dalam Kumpulan A bagi saingan round robin, tumpas 3-0 di tangan Malaysia pada perlawanan pembukaan.   Pertemuan kali kedua antara Malaysia dan Thailand, namun, kali ini di peringkat kalah mati memberi suntikan moral buat pasukan kebangsaan yang memburu kemenangan dan sekali gus layak ke Piala Dunia Remaja.   Pada perlawanan itu juga, dua pemain negara iaitu kapten, Anith Humaira dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan dan Azmyra Mia Sofea menerima anugerah Bintang Sedang Meningkat Naik.   Jurulatih Young Tigress, Lailin ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, sebanyak 11 jaringan yang dijaringkan para pemain menentang Hong Kong menunjukkan mereka telah berjaya mempamerkan prestasi yang baik.   "Kita bergerak dalam satu pasukan dan mempunyai penyudah yang baik di dalam D.   "Apabila kita mendapat banyak pukulan sudut penalti, saya puas hati dengan kombinasi yang pemain tunjukkan," katanya.   Menurut bekas pemain kebangsaan itu, amat penting untuk anak-anak buahnya menyempurnakan dengan baik ketika pukulan bola mati (set piece) di mana ia merupakan satu persediaan baik menjelang perlawanan menentang Thailand, esok.   Jelasnya, bagi perlawanan berdepan Thailand menjadi aksi penting buat skuad negara untuk melayakkan diri ke Piala Dunia, tahun depan.   "Saya akan lebih terperinci untuk perlawanan esok dan kita tahu Thailand bukan pasukan yang mudah untuk kita kalahkan.   "Walaupun kita tewaskan mereka di peringkat kumpulan, saya mahu para pemain lebih fokus kerana apa-apa sahaja boleh berlaku, jadi, mereka harus yakin mempunyai semangat ataupun memiliki mentaliti untuk menang agar kita mampu membawa Malaysia ke Piala Dunia tahun hadapan," ujarnya.