Pasukan Remaja Wanita Kebangsaan menutup aksi Piala Remaja Wanita Asia 2024 di tangga kelima selepas menewaskan Thailand 6-0 dalam klasifikasi tempat ke-5/6 di Stadium Hoki Al Amarat, Muscat, Oman, hari ini.
Keputusan itu menyaksikan Young Tigress berjaya merebut slot terakhir ke Piala Dunia Remaja Wanita yang bakal berlangsung di Santiago, Chile, tahun depan.
Lebih manis apabila mereka mencipta sejarah tersendiri dengan layak secara merit buat kali pertama dalam tempoh 35 tahun, semenjak kejohanan tersebut diperkenalkan pada tahun 1989.
Dalam pertemuan menentang Thailand, Nurshamine Azureen Mohammed Badusha meledakkan hatrik (minit ke-2, ke-9, ke-19), manakala, Azmyra Mia Sofea Azhairy menyumbang dua gol (minit ke-30, ke-53) dan Thibatharshini James menyempurnakan jaringan hasil pukulan sudut penalti (minit ke-47).
Dua pemain Malaysia iaitu Zati Alyani Muhammad Zubir dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan dan Nurshamine Azureen pula menerima anugerah Bintang Sedang Meningkat Naik.
Selain Malaysia, empat lagi negara yang telahpun layak ke Piala Dunia lebih awal bagi benua Asia adalah China, India, Jepun dan Korea Selatan.
Sebanyak 24 buah negara termasuk tuan rumah layak ke kejohanan itu melalui pertandingan di peringkat benua masing-masing.
Pasukan di dua benua, Amerika serta Eropah telahpun layak iaitu Argentina, Kanada, Amerika Syarikat, Uruguay (Amerika); Belgium, England, Jerman, Ireland, Belanda, Sepanyol, Wales dan Scotland (Eropah).
Bagi peringkat Oceania dan Afrika, kelayakan ke Piala Dunia hanya akan diadakan pada tahun depan.
Jurulatih Young Tigress, Lailin Abu Hassan melahirkan rasa syukur skuad bimbingannya berjaya menewaskan Thailand dalam penentuan tempat kelima dan keenam.
“Kita telah berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia di Chile pada tahun depan. Hari ini, kita dapat melihat para pemain beraksi bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan.
“Apa yang kita rancang berjalan lancar kerana pemain tahu kita berjuang untuk layak ke Piala Dunia,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir.
Menjelang Piala Dunia, beliau berkata, para pemain telah menunjukkan prestasi yang amat baik dan perancangan masa depan perlu diatur dalam memberikan latihan kepada mereka sebagai persiapan menghadapi kejohanan besar itu tahun hadapan.
Sementara itu, pengurus pasukan Young Tigress, Datuk Mohd Saiyuti Abd Samat memberitahu, selepas ini, skuad muda negara itu akan pulang ke tanah air dan perlu merancang sesuatu mungkin menyertai jelajah untuk memberikan para pemain lebih pengalaman.
“Langkah pertama kita akan menyertai TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) yang turut disertai kelab-kelab ternama di seluruh negara dan para pemain akan mendapat lebih pengalaman menjelang Piala Dunia,” ujarnya.









