Malaysia Bariskan 20 Pemain Terbaik Ke Kejohanan FIH Odisha Hoki Piala Dunia Lelaki 2023

Menjelang Kejohanan FIH Odisha Hoki Piala Dunia Lelaki 2023 Bhubaneswar – Rourkela yang akan membuka tirai pada 13 hingga 29 Januari 2023, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini menyenaraikan barisan 20 pemain Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang akan membawa cabaran Malaysia di kejohanan tersebut.

Pengumuman barisan pemain telah dilakukan oleh Pengurus Pasukan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan merangkap Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Dato’ Mirnawan Nawawi dalam satu sidang media di Pejabat KHM.

Menerusi senarai yang telah diumumkan, Kapten Negara, Muhammad Marhan Mohd Jalil dan Muhammad Shahril Saabah bakal kembali memperkuatkan pasukan selain dapat dilihat dua pemain muda, Tengku Nasrul Ikmal Hakimie Tengku Abd Rahim dan Shahmie Irfan Suhaimi, turut tersenarai sebagai pemain simpanan yang akan sentiasa bersiap sedia bagi menggantikan mana-mana pemain yang berada di dalam senarai 18 utama sekiranya diperlukan.

Jelas Pengendali Negara, A. Arulselvaraj, selepas mengambil kira posisi serta maklumat kecederaan pemain, ini merupakan barisan 20 pemain terbaik yang dimiliki beliau selain pemain-pemain ini dilihat turut bersedia secara fizikal serta mental bagi menggalas tugas yang cukup penting itu.

“Kembalinya Marhan Jalil serta Shahril Saabah pastinya akan membantu pasukan dan menerusi jadual perlawanan yang telah dikeluarkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), kami akan bermain satu perlawanan dan berehat dua hari sebelum turun perlawanan seterusnya.

“Jadi pemain boleh bermain pada tahap maksimum dan menggunakan tempoh rehat yang dimiliki untuk proses pemulihan selain bersedia bagi perlawanan seterusnya. Kami juga perlu lebih bijak dalam merangka strategi bagaimana untuk beraksi dalam satu perlawanan dan perlawanan lain.

“Sebagai pemanas badan, kami akan bermain satu perlawanan persahabatan bersama pasukan Sepanyol pada 11 Januari, namun kami masih belum memutuskan untuk bermain secara perlawanan penuh (60 minit) atau bermain tiga suku sahaja (45 minit) dan ianya hanya akan diputuskan apabila kami tiba di India nanti,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Coach A.Arulselvaraj turut mengulas mengenai keputusan beliau untuk menyenaraikan pemain muda berusia 20 tahun, Shahmie Irfan Suhaimi, dalam senarai dua pemain simpanan (pemain ke-19 dan ke-20).

“Saya mula memerhatikan Irfan sewaktu beliau beraksi di Kejohanan Piala Sultan Johor 2022 dan dengan maklum balas yang saya terima daripada Ketua Jurulatih Skuad Remaja Negara, Amin Rahim serta potensi yang saya lihat pada pemain ini, saya telah memanggil beliau untuk menyertai sesi latihan bersama Skuad Senior.

“Semasa latihan selama dua minggu, saya dapat melihat potensi yang cukup baik daripada pemain ini selain beliau turut menunjukkan kesungguhan dalam sesi latihan,” tambah Arulselvaraj.

Skuad negara akan berlepas ke Bhubaneswar, India, pada Jumaat – 06 Januari 2023, jam 5.00 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Berikut merupakan senarai 20 pemain Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang akan menggalas cabaran Malaysia di Kejohanan FIH Odisha Hoki Piala Dunia Lelaki 2023.

NO NAMA POSISI CAPS
1 MUHAMMAD HAFIZUDDIN OTHMAN PENJAGA GOL 85
2 ADRIAN ANDY ALBERT PENJAGA GOL 10
3 MUHAMMAD RAZIE ABD RAHIM PERTAHANAN 306
4 MUHAMMAD MARHAN MOHD JALIL PERTAHANAN 278
5 MUHAMMAD NAJMI FARIZAL JAZLAN PERTAHANAN 102
6 ZULPIDAUS MIZUN PERTAHANAN 26
7 MUHAMMAD AMINUDDIN MOHD ZAIN PERTAHANAN 11
8 MUHAMMAD AMIRUL HAMIZAN AZAHAR PERTAHANAN 11
9 MEOR MUHAMMAD AZUAN HASSAN TENGAH 174
10 FAIZ HELMI JALI TENGAH 191
11 MUHAMMAD FIRHAN ASHAARI TENGAH 186
12 MOHAMAD ASHRAN HAMSANI TENGAH 50
13 MUHAMMAD NAJIB ABU HASSAN TENGAH 51
14 FAIZAL SAARI PENYERANG 266
15 MUHAMMAD SHAHRIL SAABAH PENYERANG 148
16 NORSYAFIQ SUMANTRI PENYERANG 86
17 MUHAMAD RAMADAN ROSLI PENYERANG 92
18 SHELLO SILVERIUS PENYERANG 20

Pemain Simpanan

NO NAMA POSISI CAPS
19 TENGKU NASRUL IKMAL HAKIMIE TENGKU ABD RAHIM PENYERANG 12
20 SHAHMIE IRFAN SUHAIMI PENYERANG 0

 

Berikut merupakan jadual perlawanan Malaysian Tigers bagi aksi peringkat Kumpulan C :

NO HARI TARIKH PERLAWANAN MASA VENUE
1. SABTU 14 JAN 2023 BELANDA LWN MALAYSIA 5:30 PETANG Stadium Hoki Birsa Munda – Rourkela
2. ISNIN 16 JAN 2023 MALAYSIA LWN CHILE 3:30 PETANG Stadium Hoki Birsa Munda – Rourkela
3. KHAMIS 19 JAN 2023 MALAYSIA LWN NEW ZEALAND 3:30 PETANG Stadium Hoki Kalinga – Bhubaneswar
** Masa perlawanan adalah Waktu Malaysia    

Recent Posts

Leave a Comment