Malaysia Terus Kumpul Mata Pada Aksi Ketiga Pusingan Round Robin

In MAIN

Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita Negara berjaya untuk terus memastikan tidak keciciran mata pada acara Hoki Dalam Dewan, Temasya Sukan SEA 2023, Phnom Penh, Kemboja yang berlangsung di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar, hari ini.

Bagaimanapun Pasukan Wanita Negara terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata bersama Thailand selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa sebarang jaringan sementara Pasukan Lelaki Negara terus menambah tiga lagi mata selepas menewaskan Singapura 5-0.

Pasukan Lelaki Kebangsaan yang turun terlebih dahulu pada aksi ketiga hari ini turut mendapat tentangan daripada lawan mereka apabila tirai jaringan berjaya dibuka pada minit kelapan menerusi gol gerakan padang Danial Asyraf Abdul Ghani.

Memasuki suku kedua, kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki digunakan sebaiknya oleh Muhamad Izham Azhar pada minit ke-13, sekaligus menutup aksi separuh masa pertama dengan Malaysia berkelebihan dua gol dihadapan.

Bersambung separuh masa kedua, satu lagi kelebihan gol pukulan sudut penalti dimanfaatkan kem negara kali ini pada minti ke-25 giliran Faridzul Afiq Mohd untuk mencatat nama selaku penjaring sebelum Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan menambah satu lagi gol seminit kemudian.

Tiga minit sebelum perlawanan sebenar berakhir, Muhamad Izham Azhar sekali lagi memastikan kelebihan pukulan sudut penalti digunakan dengan sebaiknya dan jaringan tersebut menutup aksi ketiga pasukan negara yang kini telah mengumpul sembilan mata keseluruhan.

Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki negara, Mohd Hanip Che Halim menyifatkan pemain-pemainnya tidak bermain pada prestasi mereka yang sebenar walaupun meraih kemenangan ketiga berturut-turut.

“Alhamdulillah dengan kemenangan hari ini dan kami masih dilandasan yang betul dalam mengutip tiga mata di setiap perlawanan. Bagaimanapun permainan kami hari ini sedikit merosot dan beberapa kesilapan telah dikenalpasti dilakukan oleh pemain hari ini.

“Kami memperolehi sembilan pukulan sudut penalti dan menjaringkan tiga daripadanya. Kami juga lihat pukulan sudut penalti hari ini serba tidak menjadi dan antara punca yang dikenalpasti iaitu kesilapan daripada kami sendiri ketika injektor melakukan hantaran.

“Pertemuan dengan Thailand esok, kami akan melakukan beberapa perubahan dari segi taktikal dan juga percaturan permainan. Kami akan turun dengan misi untuk terus mengutip tiga mata bagi perlawanan keempat,” jelasnya yang dihubungi selepas tamat perlawanan.

Dalam pada itu, satu mata yang diraih hari ini menjadi kelegaan buat Ketua Jurulatih Pasukan Hoki Dalam Dewan Wanita, Mohd Badrul Hisham Osman, apabila anak-anak buahnya berjaya untuk memastikan mereka masih tidak keciciran sebarang mata selepas tiga perlawanan.

Malaysia kini ditangga kedua dengan tujuh mata, berkongsi mata yang sama dengan Thailand, namun perbezaan tiga gol yang berkelebihan kepada Malaysia, meletakkan Pasukan Wanita Negara, berada di atas pasukan Thailand.

“Pemain telah menunjukkan satu permainan yang bagus namun kami akan terus mempertingkatkan lagi persembahan agar sasaran yang telah ditetapkan kepada pasukan dapat dicapai dan kami akan terus mengingatkan para pemain agar tidak melepaskan setiap peluang yang dimiliki untuk menghasilkan jaringan.

“Penjaga gol, Farah Ayuni memberikan aksi yang terbaik hari ini di mana beliau berjaya menidakkan setiap peluang yang dimiliki oleh pihak lawan dan menggunakan semua pengalamannya untuk mengatasi setiap asakan serangan lawan.

“Saya juga memuji setiap pemain saya yang telah memberikan kerjasama yang sangat baik untuk beraksi sebagai satu pasukan dan memainkan peranan mereka dengan baik apabila setiap tugasan diberikan.

“Kami akan melakukan sehabis baik untuk perlawanan keempat bertemu tuan rumah esok dan cuba untuk memastikan tiga mata menjadi milik kami. Kami akan membuat kerjarumah mengenai pasukan lawan dan merancang taktikal yang akan diterapkan bagi perlawanan esok.

“Tuan rumah pastinya akan bermain bermati-matian untuk cuba mencuri mata daripada kami. Saya akan sentiasa mengingatkan pemain untuk tidak sesekali mengambil mudah perlawanan esok dan manfaatkan semua peluang yang dimiliki,” jelasnya.

Pasukan Lelaki Negara akan turun bertemu Thailand esok untuk aksi keempat Pusingan Round Robin pada jam 4:30 petang (waktu Malaysia) sementara Pasukan Wanita Negara akan bertemu Kemboja pada jam 5:45 petang (waktu Malaysia).

Recent Posts

Leave a Comment