Piala Sultan Johor 2017: Great Britain Sekat Malaysia Raih Mata Sulung

Impian skuad hoki remaja kebangsaan untuk meraih kemenangan sulung dalam aksi pembukaan saingan Piala Sultan Johor 2017 tidak kesampaian selepas mereka tewas tipis 0-1 kepada Great Britain di Stadium Hoki Taman Daya, semalam.

Pasukan muda negara memberikan saingan sengit dan memperoleh beberapa peluang. Pada minit ke-7, Nursyafiq Sumantri hampir-hampir mendapatkan gol pertama negara tetapi pukulannya sedikit sahaja tersasar biarpun Chris Wyver sudahpun tertewas.

Great Britain juga memperoleh peluang pada suku pertama terutamanya apabila mendapat tiga pukulan sudut penalti namun mereka juga gagal menemui jaringan.

Pada suku permain ketiga perlawanan, pasukan negara sekali lagi mencipta peluang keemasan apabila Zaidi Hafizuddin cuba menguis bola masuk namun Chris Wyver sekali lagi bertindak cemerlang menafikan gol pasukan negara.

Bagaimanapun di suku terakhir perlawanan, Great Britain berjaya memecah benteng negara dengan memperoleh gol tunggal perlawanan. Gol padang oleh Duncan Scott pada minit ke-51 itu sudah cukup untuk mengesahkan kemenangan pertama mereka dalam kejohanan ini.

Di sebalik kekalahan tipis itu, ketua jurulatih pasukan negara, Wallace Tan tetap positif dengan persembahan yang dipamerkan oleh anak buahnya.

“Secara keseluruhan, prestasi pemain adalah baik. Mereka mencipta banyak gerakan dan serangan ke arah pintu gol lawan cumanya tidak menemui penyudah.

“Prestasi mereka juga meningkat pada suku ke-3 dan suku ke-4 permainan. Bagaimanapun, bagi saya ini adalah satu pengalaman yang berharga kepada pasukan.

“Saya menjangkakan satu perlawanan yang sengit apabila kita berdepan pasukan India pada perlawanan sebelah malam nanti,” kata Wallace ketika dihubungi.

Jadual perlawanan pasukan negara:

India lwn Malaysia (Isnin, 23 Oktober)
Malaysia lwn Jepun (Rabu, 25 Oktober)
Malaysia lwn Amerika Syarikat (Khamis, 26 Oktober)
Australia lwn Malaysia (Sabtu, 28 Oktober)