Impian Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan untuk melangkah ke separuh akhir tidak kesampaian selepas diikat Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir peringkat round robin pada Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia Moqi 2024 di Hulunbair, Inner Mongolia, China, hari ini.

Speedy Tigers mengumpul lima mata daripada lima perlawanan dengan satu menang, dua seri dan dua tewas berada di kedudukan kelima. Ia sekaligus menyaksikan anak-anak buah Sarjit Singh tidak berjaya meloloskan diri dalam kelompok empat pasukan teratas yang meraih slot separuh akhir.

Tuan rumah, China menjadi pasukan terakhir mara ke separuh akhir selepas menewaskan Jepun 2-0 dan sekali gus mengutip enam mata untuk melonjak ke tangga ketiga, manakala, Korea Selatan yang turut mengumpul jumlah mata sama menghuni tempat keempat.

Sarjit berkata, sejujurnya skuad bimbingannya itu berhak menang dalam perlawanan tersebut, namun, keputusan pengadil perlawanan yang memberikan pukulan sudut penalti (PC) kepada Korea Selatan dihujung permainan telah membuka laluan mereka mengikat Malaysia.

“Pemain telah memberikan segala-galanya di atas padang, mereka bermain dengan baik terutamanya pada suku kedua hingga tamat perlawanan.

“PC terakhir yang diterima Korea menjadi persoalan kami mengenai keputusan pengadil memberikan PC tersebut, tetapi kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana pengadil berkuasa di dalam padang dan keputusan mereka muktamad.

“Kami perlu terima dan jadikan perkara ini sebagai pengajaran untuk masa depan,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Speedy Tigers akan terus bekerja keras untuk perlawanan seterusnya.

Dalam saingan berdepan Korea Selatan, tiga gol Speedy Tigers diledakkan oleh Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (minit ke-28), Norsyafiq Sumantri (minit ke-35) dan Faizal Saari (minit ke-55).

Sementara itu, tiga jaringan Korea Selatan disempurnakan oleh Yang Jihun (minit ke-6, minit ke-60) dan Park Cheoleon (minit ke-42).

Kedudukan terakhir selepas tamat semua perlawanan round robin turut menyaksikan Malaysia bakal berdepan Jepun sekali lagi bagi menentukan kedudukan kelima dan keenam.

India yang mengungguli kedudukan teratas akan turun beraksi menentang Korea Selatan, manakala, Pakistan yang berada di tangga kedua akan menghitung pertemuan dengan China bagi perebutan tempat ke final.

Tags: