
Pengendali negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah tetap optimis peluang skuad wanita negara untuk beraksi di Piala Dunia London 2018 masih lagi terbuka seandainya mereka mampu mempamerkan aksi terbaik pada Piala Asia 2017 yang akan berlangsung di Kakamigahara, Jepun pada 28 Oktober hingga 5 November 2017.
Pengendali berusia 48 tahun itu sedar laluan berliku mungkin akan dilalui oleh skuad negara untuk menempatkan diri di Piala Dunia yang akan berlangsung pada 21 Julai 2018 hingga 5 Ogos 2018 tetapi tetap percaya dengan kemampuan yang dimiliki oleh skuad kendaliannya.
Ketika di Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia baru-baru ini, Malaysian Tigress berjaya untuk memaksa pasukan seperti Australia, New Zealand dan Sepanyol “berpeluh” sebelum memperolehi kemenangan.
“Kami masih mempunyai peluang untuk menjadi juara di Piala Asia dan pintu untuk ke Piala Dunia 2018 masih lagi terbuka walaupun mungkin terpaksa berhadapan dengan laluan yang sukar.
“Saya yakin tentangan mampu diberikan oleh anak-anak buah saya kerana mereka telah membuktikan ketika di Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia baru-baru ini dimana kami berikan tentangan kepada pasukan yang berada di ranking yang lebih tinggi.
“Jika dilihat di atas kertas, peluang kami masih lagi terbuka dan kami mampu untuk muncul juara di Piala Asia,” ujar Dharmaraj ketika ditemui di KLIA baru-baru ini.
Dharmaraj bagaimanapun melihat beberapa faktor seperti pengalaman antara kekangan yang menyebabkan skuad negara terpaksa akur mengakhiri Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia 2017 di tempat ke-10.
“Di Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia kami tidak dapat menampilkan aksi yang lebih kerana ada beberapa perkara yang berlaku di sana dipengaruhi oleh faktor pengalaman yang dimiliki oleh pemain, situasi pasukan dimana kami ke sana ketika Ramadhan dan saya akur dengan peluang yang cukup tipis untuk kami ketika di Brussels.
“Tetapi beraksi di Piala Asia bagi saya ia sesuatu yang berbeza. Kami perlu melakukan sehabis baik untuk muncul juara dan melayakkan diri ke Piala Dunia 2018.”