Impian skuad bimbingan Stephen van Huizen untuk melangkah ke perlawanan akhir Hero Piala Asia 2017 buat kali pertama menjadi kenyataan selepas berjaya mengikat Korea Selatan 1-1 pada perlawanan terakhir saingan Super 4 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Maulana Bhashani, Dhaka, Bangladesh sebentar tadi.

Satu mata yang diperolehi dalam perlawanan terakhir peringkat Super 4 sudah cukup untuk meletakkan pasukan negara sebagai pasukan kedua terbaik untuk melangkah ke final dan kejayaan melangkah ke perlawanan akhir merupakan sejarah buat skuad negara yang tidak pernah ke final dan Malaysian Tigers akan membuat perhitungan dengan India pada perlawanan akhir yang akan berlangsung esok. Terdahulu kemenangan 4-0 membawa India ke final dan keputusan itu juga menyaksikan Pakistan akan membuat perhitungan dengan Korea Selatan dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.

Aksi di suku pertama menyaksikan kedua-dua pasuka berusaha untuk mendapatkan jaringan awal namun buntu untuk menghasilkan sebarang jaringan walaupun tekanan cuba diberikan oleh kedua-dua pasukan.

Memasuki suku kedua, Korea Selatan mendapat peluang untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-24 apabila dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti yang pertama dan Yang Jihun mudah menolak masuk bola untuk menewaskan penjaga gol negara, S. Kumar.

Penghujung aksi suku kedua, Malaysia pula memiliki kelebihan pukulan sudut penalti namun kesilapan berlaku ketika Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad ingin melakukan tolakan dan skuad negara terlepas peluang untuk mengikat kedudukan sebelum berehat untuk separuh masa.

Tiada sebarang tambahan jaringan berjaya untuk dihasilkan oleh kedua-dua pasukan dalam suku ketiga walaupun Korea memiliki beberapa percubaan untuk menggandakan jaringan tetapi aksi cemerlang penjaga gol negara, S.Kumar berjaya untuk menidakkan usaha Korea untuk menambah jaringan.

Skuad negara bagaimanapun tidak berputus asa untuk terus menggandakan usaha mencari jaringan tetapi usaha untuk cuba merapati pintu gawang Korea terus dikawal ketat oleh lawan dan menghalang impian skuad negara untuk mencari gol.

Memasuki minit ke-56, skuad negara mengubah percaturan dengan menggunakan kapten, Muhammad Sukri Abdul Mutalib sebagai “kicking back keeper” dalam usaha untuk mencari gol dan mempunyai lebihan pemain beraksi di atas padang.

Usaha untuk memberikan tekanan kepada Korea berhasil apabila dua minit sebelum tamat perlawanan sebenar, Malaysian Tigers dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti kedua yang juga merupakan peluang keemasan untuk mendapatkan jaringan penyamaan dan flik daripada Faizal Saari mencari sudut atas pintu gol kanan lawan menjelmakan jaringan yang dinanti-nantikan skuad negara.

Beberapa minit sebelum tamat perlawanan Korea Selatan cuba untuk mendapatkan pukulan sudut penalti sebagai usaha untuk menggandakan jaringan namun usaha mereka gagal dan keputusan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan.