
Usaha keras yang ditunjukkan oleh skuad bimbingan Stephen van Huizen masih belum cukup untuk menyekat India yang berada di kedudukan ranking keenam dunia untuk muncul juara selepas menewaskan Malaysia 2-1 pada perlawanan akhir Hero Piala Asia 2017 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Maulana Bhashani, Dhaka, Bangladesh sebentar tadi.
Penyerang negara Faizal Saari dinobatkan dengan dua anugerah iaitu selaku pemain terbaik sepanjang kejohanan dan penjaring terbanyak kejohanan dengan tujuh gol dan berkongsi anugerah penjaring terbanyak itu bersama-sama pemain India, Harmanpreet Singh.
India membuka tirai jaringan seawal minit ketiga apabila Sunil Sowmarpet yang menghantar bola mencari Ramandeep Singh terkena palang gol, namun tindakan susulan oleh Ramandeep untuk menolak sekali lagi bola tersebut menewaskan penjaga gol negara, S. Kumar.
S.Kumar terus sibuk untuk mempertahankan pintu gol negara apabila pada minit ke-11 India menerusi Chinglensana Kangujam mencuba untuk melebarkan jaringan namun percubaannya tersasar ke sebelah kanan pintu gol negara.
Malaysian Tigers dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama pada minit ke-13 namun sedikit kesilapan berlaku menyaksikan skuad negara masih belum berjaya untuk mengikat pasukan India.
Malaysia memiliki peluang kedua untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-20 apabila bola hantaran Sukri Mutalib mencari Faizal Saari dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan yang berada di kawasan pintu gol India tidak dapat dibaca dengan baik saat pintu gol terbuka untuk skuad negara menghasilkan jaringan.
Berselang dua minit kemudia, India dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti namun gagal untuk mencari jaringan kedua apabila gandingan Muhammad Razie Abd Rahim dan S.Kumar berjaya untuk menampan flik yang dilakukan oleh Harmanpreet Singh.
Saat skuad negara bersedia untuk menamatkan aksi separuh masa pertama dengan jurang jaringan yang kecil, kesilapan berlaku apabila bola hantaran Sumit berjaya menemui Lalit Upadhyay pada minit-minit terakhir separuh masa pertama untuk India menggandakan jaringan 2-0.
Memasuki suku ketiga, India terus-terusan berusaha untuk merobek pintu gawang negara namun beberapa percubaan bahaya yang diperolehi oleh lawan negara itu tidak dapat disudahkan dengan sempurna selain kecekapan S.Kumar juga turut menghalang niat mereka untuk mencari jaringan seterusnya.
Dua minit bersambung suku keempat Malaysia dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan peluang untuk menjelamakan jaringan masih tidak muncul tiba apabila bola pukulan Faizal Saari mencari sebelah kanan pintu gawang India sedikit tersasar keluar daripada pintu gol.
Jaringan yang dinanti-nantikan oleh skuad negara akhirnya muncul tiba pada minit ke-50 menerusi jaringan padang Muhammad Shahril Saabah selepas bola hantaran Muhamad Ramadan Rosli dibias oleh Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad dan memaksa penjaga gol India untuk menolak keluar bola tersebut, namun kedudukan baik Shahril Saabah yang berada di hadapan penjaga gol lawan itu berjaya untuk merobek pintu gol India.
Minit ke-56 Malaysia dihadiahkan dengan satu lagi pukulan sudut penalti tetapi set-piece yang cuba untuk dilakukan skuad negara tidak membuahkan hasil untuk mencari jaringan penyamaan.
Usaha pada minit-minit terakhir oleh skuad negara untuk mencari jaringan penyemaan menerusi hantaran Muhammad Azri Hassan mencari Faizal Saari dan Muhammad Haziq Samsul yang berada berdekatan pintu gol tidak berkesampaian dan keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.