KUALA LUMPUR (25 November 2017): Pasukan hoki wanita Johor berjaya menamatkan saingan TNB Piala Tun Abdul Razak di kedudukan kelima setelah menang menerusi penalti shootout ketika bertemu Melaka dalam penentuan tempat ke-5/6 di Stadium Hoki Kuala Lumpur tadi.

Kemenangan Johor menyaksikan mereka berjaya memperbaiki kedudukan di mana dalam saingan tahun lalu, mereka mengakhiri kempen di tempat ketujuh keseluruhan.

Tamat masa penuh perlawanan yang berlangsung tadi, kedua-dua pasukan buntu untuk mencipta jaringan biarpun mereka mencipta peluang dalam kedua-dua babak permainan.

Selepas itu dalam penentuan penalti shootout, Farah Ayuni yang menjaga gawang Johor bertindak cemerlang untuk menggagalkan kesemua penalti shootout daripada pemain Melaka.

Gol kemenangan 3-0 penalti shootout pasukan dari selatan tanah air itu dijaringkan oleh Noor Hayati Sirkam, Hanis Nadiah Onn dan Nurin Natasha Rohani.

Sementara dalam penentuan kedudukan ke-7/8 pula dimenangi oleh Terengganu yang menang 1-0 mengatasi Perak pada awal pagi tadi.

Gol tunggal Terengganu yang juga merupakan gol kemenangan pasukan itu dijaringkan oleh Nur Syuhada Suhaimi pada minit ke-51. Dia yang tidak dikawal mudah menolak masuk bola selepas menerima hantaran daripada rakan sepasukan sekaligus meletakkan Terengganu di kedudukan ketujuh saingan ini.

Keputusan Penuh

Tempat ke 7/8
Perak 0-1 Terengganu
Tempat ke 5/6
Melaka 0-0 Johor *Johor menang penentuan penalti shootout 3-0

Jadual Esok (Ahad, 26 November 2017)

Penentuan Tempat ke-3/4
4.00PM- ATM Lwn Kuala Lumpur
Final
6.30PM- Pahang Lwn Selangor