
Kuala Lumpur (4 Disember 2015): Kuala Lumpur mahu memastikan dapat menewaskan juara bertahan, Perak pada aksi separuh akhir Piala Tun Abdul Razak esok sekali gus mencerahkan peluang mereka untuk memburu kejuaraan buat kali ke-20.
Penolong jurulatih K Gobinathan berkata, di atas kertas Perak sememangnya mempunyai kelebihan dan lebih berpeluang untuk mara ke pentas final.
Namun katanya, dengan strategi yang betul dan tepat, tidak mustahil untuk barisan pemainnya mengejutkan Perak.
“Saya hanya mahu memastikan mereka mengikut struktur permainan yang ditetapkan. Selebihnya pemain perlu melakukan yang terbaik ketika beraksi di atas padang.
“Saya juga berharap setiap pemain dapat mengurangkan kesilapan mudah. Yang paling penting ialah mereka perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk menjaringkan gol,” katanya.
Pada perlawanan esok, Gobinathan memikul tugas berat kerana ketua jurulatih Muhammad Dhaarma Raj Abdullah tidak dapat membimbing pasukan berikutan mempunyai urusan peribadi.
“Tugas esok memang berat tetapi mahu tak mahu saya perlu hadapi detik sukar ini,” katanya.
Pertemuan antara Johor dan Melaka pada satu lagi aksi separuh hari ini turut dijangka menjanjikan saingan sengit.