Dua lagi kemenangan ke atas Uzbekistan serta Nepal dicatat pasukan hoki dalam dewan wanita negara untuk kekalkan rekod tanpa kalah dalam kejohanan Piala Tuanku Zara 2019 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar pada Sabtu.

Aksi pertama pada sebelah pagi memberikan ujian sebenar buat skuad kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah apabila berdepan Uzbekistan yang dijangka menjadi lawan bagi perebutan kejuaraan pada Ahad.

Malaysian Tigress berada di depan menerusi pukulan sudut penalti Nur Aisyah Yaacob pada minit ke-6 sebelum Uzbekistan bangkit memberikan tentangan.

3 mata penuh menjadi milik skuad negara apabila Nur Aisyah peroleh jaringan kedua, sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti pada minti ke-33.

Nepal kemudian menjadi lawan terakhir Malaysia bagi aksi peringkat kumpulan pada sebelah petang.

Nyata tiada kesukaran buat skuad negara apabila mudah melakar kemenangan 13-0 dengan Nur Afiqah Syahzani Azhar cemerlang memperoleh 6 jaringan.

Selain itu Noor Hasliza Ali serta Nurul Safiqah Mat Isa masing-masing turut peroleh dua jaringan dalam perlawanan ini bagi memastikan Malaysia raih 12 mata maksimum daripada 4 perlawanan.

“Pada pertemuan menentang Uzbekistan kami mengalami sedikit kesukaran untuk mendapat rentak seperti perlawanan-perlawanan yang lain kerana mereka punyai kelebihan daripada segi bertahan.

“Bagi pertemuan dengan Nepal pula, saya menurunkan ramai pemain yang kebanyakannya kurang minit permainan supaya masing-masing berada di rentak terbaik untuk perlawanan seterusnya selain merehatkan beberapa pemain utama,” jelas Dharma Raj.

Malaysia sekali lagi akan berentap dengan Uzbekistan bagi penentuan kejuaraan pada Ahad selepas lawan mereka itu menduduki tangga kedua saingan kumpulan.

Meskipun sudah menewaskan Uzbekistan, Dharma Raj anggap suasana perlawanan kali ini berbeza dan mahu pemain-pemain dan menyerap segala tekanan yang diberikan khususnya oleh lawan bagi memastikan misi raih kejuaraan terlaksana.

“Aksi dengan Uzbekistan sebelum ini adalah satu ujian buat pemain kerana mereka belum mampu untuk menghadapi tekanan bermain pada perlawanan yang genting seperti perlawanan akhir atau aksi penentuan dan saya yakin mereka dapat perbaiki serta mengatasi kekurangan ini.”