KUALA LUMPUR (24 November 2017): Pasukan hoki wanita Pahang selaku juara bertahan dan Selangor unggul dalam perlawanan separuh akhir untuk menewaskan lawan masing-masing sekaligus melayakkan mereka ke final saingan TNB Piala Tun Abdul Razak 2017 yang berlangsung di Stadium Hoki Kuala Lumpur hari ini.

Pasukan Pahang yang belum tewas dalam kejohanan ini turun bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat gol pertama pada suku kedua perlawanan selepas Rabiatul Adawiyah Mohamed berjaya menolak masuk bola hasil daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-19.

Kedua-dua pasukan yang bermain dalam keadaan hujan renyai-renyai terus mengatur gerakan mencari gol selepas itu. Apapun, kelekaan pertahanan ATM yang tidak mengawal Nur Shazwani Zakaria dihukum pemain itu melalui gol padang pada penghujung babak suku kedua.

Kedudukan 2-0 itu kekal memihak Pahang sehingga tamat permainan sekaligus membawa mereka ke perlawanan akhir kejohanan ini buat kali kedua berturut-turut.

Jurulatih Pahang, Mohd Ashraf Benadict Arraice Abdullah berkaya, “Perlawanan hari ini bagi saya pemain tidak mempamerkan permainan mereka yang sebenar. Apapun saya berharap mereka akan bermain dengan aksi yang lebih baik di perlawanan akhir.

“Bagi saya kita kena memperbaiki penyudah untuk menjaringkan gol. Selain itu, dapat tengok tadi kita mensia-siakan lebih kurang enam pukulan sudut penalti hari ini, hanya satu dapat dihasilkan. Saya harap ianya dapat diperbaiki semasa perlawanan akhir,” kata jurulatih Pahang selepas perlawanan.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, Selangor melakukan kebangkitan dramatik apabila dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk memusnahkan impian Kuala Lumpur.

Jurulatih Selangor, Ikmal Abdul Jabbar berkata, “Dramatik! Keputusan yang sungguh menggembirakan dan ini merupakan satu perlawanan antara seteru setempat yang sangat hebat bagi saya. Apabila kedua-dua pasukan bertemu, kita akan sentiasa memberikan persembahan terbaik dan alhamdulilah keputusan berpihak kepada Selangor.

“Pahang merupakan pasukan pilihan di final nanti, mereka mempunyai kekuatan di semua posisi. Kami bukan pilihan dan akan bermain dengan cara kami serta mungkin akan mengubah cara permainan. Yang pastinya kami tidak akan bertahan kerana kami juga mahukan kemenangan,” katanya ketika ditemui media tadi.

Pasukan Kuala Lumpur terlebih dahulu di depan hasil pukulan sudut penalti yang disudahkan Norazlin Sumantri pada minit ke-19. Selepas itu, Selangor menyamakan kedudukan menerusi gol padang seminit sebelum separuh masa pertama tamat melalui Fatin Shafikah Mohd Sukri.

Bermula separuh masa kedua, perlawanan bertambah rancak selepas Kuala Lumpur sekali lagi mendahului seawal minit ke-31 selepas Nurul Natasha Fairuz meledak gol daripada pukulan sudut penalti.

Apapun, malam ini nyata menjadi milik Selangor apabila mereka bangkit mencipta dua gol selang dua minit selepas itu. Nor Atira Mohamad Ismail menjadi wira Selangor apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-33 dan minit ke-34 perlawanan sekaligus membawa pasukannya melangkah ke final kejohanan ini.

Keputusan Separuh Akhir

Pahang 2-0 ATM
Selangor 3-2 Kuala Lumpur

Jadual Perlawanan
Esok (Sabtu, 25 November 2017)

Tempat ke 7/8
7.30AM- Perak Lwn Terengganu
Tempat ke 5/6
9.30AM- Melaka Lwn Johor

Lusa (Ahad, 26 November 2017)

Penentuan Tempat ke-3/4
4.00PM- ATM Lwn Kuala Lumpur
Final
6.30PM- Pahang Lwn Selangor