
Menghuni tangga kesepuluh dalam saingan Separuh Akhir Liga Hoki Wanita Dunia di Brussels baru-baru ini merupakan sesuatu yang membanggakan kerana pasukan Malaysian Tigress mampu memberikan aksi menarik sehingga sampai ke tahap tersebut.
Berdepan dengan pasukan-pasukan yang berada di kedudukan ranking yang jauh lebih tinggi daripada mereka nyata bukan satu alasan untuk mereka menyerah kalah awal sebaliknya tentangan sengit ditunjukkan hingga ke wisel penamat.
Aksi melawan yang dipamerkan oleh mereka memaksa pasukan di ranking lima teratas dunia seperti Australia dan New Zealand “berpeluh” sebelum memenangi perlawanan patut diberikan pujian.
Bagi Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Prof. Dr. Shamala Subramaniam, prestasi yang dipamerkan pasukan wanita kebangsaan dalam kejohanan itu semakin menunjukkan peningkatan.
Shamala berkata, “Sebenarnya pencapaian pasukan kebangsaan adalah sesuatu yang membanggakan. Dari segi prestasi jika dilihat dari aksi mereka, perbezaan gol dan sebagainya ia nampak begitu ketara dalam kejohanan itu.
“KHM juga memberikan perhatian yang sangat baik kepada mereka seperti persiapan di Eropah selama tiga minggu dan pelbagai persediaan lain. Menduduki tempat kesepuluh bukan satu penanda aras kepada pasukan. Mereka sebenarnya mampu ke suku akhir jika kita lihat daripada keputusan dalam beberapa perlawanan di peringkat kumpulan,” kata Shamala yang ditemui ketika menyambut kepulangan pasukan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Shamala juga berkata dia tidak mahu pemainnya kecewa kerana gagal meraih kemenangan di sana sebaliknya perlu memperbaiki segala kelemahan kerana pintu ke Piala Dunia belum tertutup sepenuhnya.
Dia berkata, “Sebelum ke sana (Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia) memang kita berazam ke Piala Dunia tapi kita sudah memberitahu mereka bahawa beraksi di sana juga sudah cukup membanggakan tidak kira apa jua keputusan yang diperolehi.
“Yang penting mereka perlu belajar untuk penambahbaikan. Selepas ini Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sangat penting untuk kita, begitu juga dengan Piala Asia, Sukan Asia dan juga Sukan Komanwel.
“Kita akan cuba sedaya upaya untuk melayakkan diri dengan apa jua cara, jika kita berjaya beraksi baik dalam Piala Asia, pintu masih belum tertutup untuk kita melayakkan diri,” tambah Shamala.
Mengimbas kembali aksi mereka di Belgium, anak didik Muhammad Dhaarma Raj Abdullah tewas 0-3 kepada pasukan ranking keempat dunia, Australia. Mereka tumpas 1-3 kepada pasukan ranking kesepuluh dunia, Sepanyol dalam perlawanan kedua kumpulan. Kekalahan besar 0-9 kepada tuan rumah selepas itu nyata menyentap misi mereka sebelum tewas tipis 0-1 kepada pasukan ranking kelima dunia, New Zealand dalam perlawanan terakhir kumpulan. Dalam aksi penentuan tempat kesembilan dan kesepuluh, Malaysia tewas 0-1 kepada Scotland.