Impian Malaysian Tigress untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata pada perlawanan pertama Kumpulan A, Piala Asia Wanita di Kakamigahara Jepun tidak berkesampaian apabila jaringan pada saat-saat akhir China menyentap harapan negara dan terpaksa akur tewas 5-4 pada perlawanan yang berlangsung di Kawasaki Green Stadium, sebentar tadi.

China terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ketiga apabila dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan Ye Jinping berjaya meletakkan pasukan yang berada di ranking kelapan dunia itu di hadapan.

Tidak terhenti setakat itu, berselang empat minit kemudian giliran Zhong Jiaqi untuk terus meletakkan China di hadapan selepas mudah menyempurnakan pukulan sudut penalti yang seterusnya.

Tidak goyah dengan ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama, skuad bimbingan Muhammad Dharmaraj Abdullah bangkit untuk merapatkan jurang kedudukan menerusi Siti Rahmah pada minit ke-18 selepas bijak untuk memanafaatkan kelebihan pukulan sudut penalti.

Empat minit sebelum tamat aksi separuh masa pertama China kembali selesa di hadapan apabila menjadikan kedudukan 3-1 kali ini menerusi jaringan padang Chen Yi.

Memasuki suku ketiga Malaysia terus menggandakan usaha dan beberapa saat sebelum tamat suku ketiga Nurul Nabihah Mansor meledak gol padang untuk mengubah kedudukan 3-2.

Seakan tidak puas dengan jaringan pertamanya, Nabihah sekali lagi meledak gol pada minit ke-48 dan lima minit sebelum masa sebenar perlawanan berakhir, Hanis Nadiah Onn meletakkan skuad negara dihadapan dengan 3-4.

Impian untuk terus berada tidak bertahan lama apabila China bangkit menerusi dua jaringan pada minit ke-57 dan 59 hasil jaringan Yuang Meng dan Liang Meiyu yang sekaligus dilihat sebagai pemusnah harapan skuad negara untuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan dengan kedudukan seri.

Kedudukan 5-4 kekal sehingga tamat perlawanan dan esok, Ahad (29 Oktober 2017) Malaysian Tigress akan turun untuk aksi kedua bertemu jiran seberang tambak, Singapura pada jam 11.30 pagi waktu Malaysia dengan misi mencari kemenangan pertama.