
Skuad Senior Lelaki Kebangsaan membuka tirai Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia, Moqi 2024 di Hulunbair, Inner Mongolia, China, hari ini dengan keputusan seri 2-2 ketika turun pada aksi pertama pusingan round robin berdepan Pakistan.
Perlawanan yang berlangsung di Pusat Latihan Moqi itu menyaksikan pasukan bimbingan Sarjit Singh cemas seketika apabila Pakistan terlebih dahulu membolosi pintu gol Speedy Tigers 0-2.
Pakistan yang diterajui ketua jurulatih, Zaman Tahir memperoleh jaringan pertama pada minit ke-24 menerusi Sufyan Khan.
Gawang Malaysia sekali lagi dibolosi apabila Zikiriya Hayat mencetak nama selaku penjaring kedua Pakistan hasil jaringan padang pada minit ke-32.
Bagaimanapun, Speedy Tigers yang tersentak dengan dua jaringan itu, mempamerkan kebangkitan apabila merapatkan jurang gol kepada 1-2 hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan tonggak berpengalaman Faizal Saari selang lima minit selepas gol kedua pasukan lawan.
Malaysia kemudiannya melipat gandakan asakan dan pada ketika permainan hanya berbaki empat minit untuk tamat, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi muncul penyelamat Speedy Tigers apabila mengikat Pakistan 2-2 juga hasil jaringan daripada pukulan sudut penalti.
Ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit berkata, walaupun anak-anak buahnya ketinggalan 0-2 dalam babak pertama permainan, tetapi, mereka tidak mudah panik.
“Beberapa arahan yang diberi kepada para pemain berjaya membantu kebangkitan Malaysia selepas kita ketinggalan 0-2.
“Para pemain menunjukkan perwatakan yang baik untuk kembali mengejar Pakistan,” katanya dalam satu kenyataan selepas perlawanan berakhir.
Bagaimanapun, Sarjit mengingatkan para pemainnya bahawa mereka tidak boleh membiarkan lawan mendahului dalam setiap perlawanan di peringkat antarabangsa.
Jelasnya, bukan mudah untuk melakukan kebangkitan lebih-lebih lagi berdepan dengan sebuah pasukan yang kuat seperti Pakistan.
“Menjelang perlawanan esok, kami perlu memperbaiki hantaran-hantaran ke dalam kawasan ‘D’ pasukan lawan. Dalam perlawanan tadi, sewaktu suku pertama dan suku kedua, kita gagal bermain dengan baik.
“Jika kita dapat memperbaiki kelemahan itu dengan cepat, saya pasti banyak peluang boleh dijelmakan di dalam kawasan ‘D’ lawan,” ujarnya.
Justeru, beliau menegaskan, amat penting untuknya meneliti perlawanan China menentang India, hari ini, bagi mengkaji kelebihan serta kelemahan pasukan lawan.