
• Tajaan RM20 juta dari 2015 hingga 2019
• RM15 juta telah diperuntukkan dari 2006 hingga 2014
• Lahirkan pemain hoki bertaraf dunia
Tenaga Nasional Berhad (TNB) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi penajaaan kejohanan-kejohanan hoki anjuran Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berjumlah RM20 juta untuk tempoh lima tahun bermula 2015.
‘’Ini merupakan kesinambungan usaha kami melahirkan pemain hoki bertaraf dunia sejak penglibatan TNB menaja pembangunan sukan ini bermula tahun 2006,’’ kata Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman.
Berucap di majlis menandatangani MoA tersebut Roslan berkata, hampir RM15 juta telah pun dibelanjakan TNB sejak tahun 2006 sehingga kini bagi tujuan berkenaan.
‘’RM13.8 juta adalah untuk menjayakan kejohanan-kejohanan hoki anjuran KHM, hampir RM1 juta bagi bantuan kewangan pembangunan hoki dan lebih RM250 ribu bagi aktiviti mempromosikan sukan hoki di peringkat akar umbi,’’ tambah beliau.
Memperincikan penajaan RM20 juta untuk lima tahun sehingga 2019, Roslan berkata antara kejohanan yang akan ditaja ialah TNB Liga Hoki Malaysia Premier (TNB-MHL); TNB Liga Hoki Malaysia Divisyen 1 (Lelaki dan Wanita); TNB Liga Hoki Remaja Malaysia dan juga Liga Hoki Peringkat Negeri yang merupakan kerjasama terbaru antara TNB dan KHM.
Selain itu, dua kejohanan peringkat antarabangsa juga termasuk dalam tajaan ini Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Azlan Shah dan Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor.
Pada majlis tersebut TNB diwakili oleh Roslan manakala KHM oleh Presidennya, Dato’ Sri Subahan Kamal. Ia disaksikan oleh Setiausaha Syarikat TNB, Norazni Mohd Isa dan Timbalan Presiden KHM, Prof. Dr. Shamala Subramaniam.