
Perebutan tempat ke separuh akhir bagi saingan hoki lelaki Kumpulan A menjadi semakin menarik selepas tuan rumah, Johor yang menewaskan Pahang 2-0 merampas kedudukan teratas pada TNB Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru, semalam.
Skuad bimbingan Mohd Nor Aqmal Abdul Gaffar itu kini mengumpul 13 mata untuk memintas Pahang yang jatuh ke tangga kedua dengan 12 mata.
Satu lagi pasukan yang masih berpeluang merebut dua tempat teratas Kumpulan A bagi mengisi slot ke separuh akhir adalah Kuala Lumpur yang berada di kedudukan ketiga dengan 11 mata.
Ketiga-tiga pasukan tersebut berpeluang mara ke peringkat seterusnya dengan aksi penentuan akan berlangsung, hari ini.
Johor bakal berdepan Singapura yang dianggap sebagai laluan mudah buat tuan rumah, manakala, Pahang dan Kuala Lumpur akan menghitung pertemuan di antara satu sama lain.
Di atas kertas Johor dilihat tidak menghadapi masalah untuk menokok tiga lagi mata dalam perlawanan terakhir itu dan sekali gus mengungguli Kumpulan A, manakala, Pahang hanya memerlukan seri untuk berada di tangga kedua dan Kuala Lumpur membawa misi wajib menang.
Dalam perlawanan yang berlangsung petang semalam, gol pembukaan tuan rumah dijaringkan oleh Nischal Singh yang merupakan putera bongsu kepada ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh pada minit ke-10.
Gol kedua Johor disempurnakan pemain kebangsaan, Faiz Helmi Jali yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-24 untuk tuan rumah mendahului 2-0 dan keputusan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, Kuala Lumpur menundukkan Selangor 4-2 dan Pulau Pinang membenam Singapura 4-0.
Empat gol Kuala Lumpur diledakkan oleh Muhamad Ramadan Rosli (minit ke-39), Danial Asyraf Abdul Ghani (minit ke-46), Shafiq Adam Harriss Suzaini (minit ke-55) dan Irfan Raziq Syaqir Mohd Ridzuan (minit ke-57).
Selangor pula memperoleh dua gol yang dijaringkan menerusi Fariez Aqif Mohd Saidi (minit ke-21) dan Muhammad Hafiz Zainol (minit ke-43).
Bagi saingan Kumpulan B, Terengganu yang menempah laluan ke peringkat empat terbaik lebih awal setelah mengumpul 15 mata dengan lima kemenangan akan berdepan Sabah, hari ini, sebagai pelengkap aksi.
Satu lagi tempat yang menjadi rebutan bakal menjadi milik sama ada Perak atau Angkatan Tentera Malaysia (ATM) setelah masing-masing mengutip 10 dan 9 mata.
Untuk perlawanan semalam, Perak diikat Melaka dengan keputusan seri 2-2, manakala, ATM menumpaskan Negeri Sembilan 4-1 dan Sabah membelasah Polis Diraja Malaysia (PDRM) 6-0.
Bagi Perak mahupun ATM, kedua-dua pasukan itu perlu meraih kemenangan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
Perak akan turun beraksi menentang PDRM yang dilihat mampu ditewaskan pasukan dari utara tanah air itu, manakala, ATM dijangka berdepan laluan lebih getir bertemu Melaka.