Skuad hoki wanita Selangor dan Perak muncul selaku selaku juara dan naib Kumpulan A, selepas kedua-dua pasukan mencatat kemenangan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan pada Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.

Selangor menewaskan Pahang 1-0, manakala, Perak menundukkan tuan rumah, Johor 2-1 untuk kedua-dua pasukan mengutip tiga mata penuh.

Kedua-dua pasukan berkongsi sembilan mata, namun, perbezaan jaringan telah meletakkan Selangor di kedudukan teratas dan Perak sebagai naib juara.

Dalam perlawanan hari ini, jaringan Nurul Syafiqah Mat Isa pada minit ke-46, menyaksikan Selangor melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Pahang.

Untuk pertembungan membabitkan Perak dan Johor pula, dua gol pasukan dari utara tanah air itu diledak oleh Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri (minit ke-11) dan Liyana Aqilah Mohd Sepawi (minit ke-33).

Jaringan sagu hati tuan rumah pula disempurnakan melalui Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun pada minit ke-28 hasil gol padang.

Pada separuh akhir, Jumaat ini, juara Kumpulan A, Selangor akan menentang Terengganu yang muncul sebagai naib juara Kumpulan B, manakala, pendahulu kumpulan tersebut, Young Tigress bertemu Perak.

Terengganu pula mengakhiri saingan kumpulan dengan kemenangan 1-0 ke atas Melaka hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Nur Syuhada Suhaimi pada minit ke-20.

Young Tigress yang muncul satu-satunya pasukan masih belum tewas selepas mengumpul 13 mata dengan empat kemenangan dan satu seri, telah menempah tiket ke separuh akhir lebih awal berbanding tiga lagi pasukan yang terpaksa menunggu, hari ini, untuk menentukan nasib mereka.

Sebagai naib juara, Terengganu mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan, satu seri serta satu kalah dan skuad bimbingan Mohd Shahrun Nabil Abdullah itu juga merupakan pasukan tunggal berjaya mengikat skuad remaja kebangsaan dengan keputusan seri 1-1.

 

Jadual separuh akhir wanita:

Jumaat (11 Oktober)

Selangor lwn Terengganu (3 petang)

Young Tigress lwn Perak (5 petang)

Jadual perlawanan klasifikasi:

Khamis (10 Oktober)

7/8 – Pahang lwn Kuala Lumpur (7.30 pagi)

9/10 – Johor lwn ATM (7.30 pagi)

5/6 – Pulau Pinang lwn Melaka (9.30 pagi)

Tags: