TNB LHM 2018: UITM KPT Juara Divisyen Satu

UITM-KPT muncul selaku juara bagi divisyen satu, TNB Liga Hoki Malaysia 2018 selepas menidakkan cabaran Politeknik-KPT, 3-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung hari ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Selaku juara, UITM-KPT membawa pulang wang tunai RM 30,000 dan medal sementara selaku naib juara Politeknik-KPT membawa pulang wang tunai RM 20,000 beserta medal dan Kedah Hockey Team-NI yang berada di tempat ketiga membawa pulang RM 10,000 bersama medal.

UITM-KPT terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kelapan menerusi jaringan padang yang disempurnakan oleh Muhammad Fitri Ismail, bagaimanapun jaringan itu mudah dipadamkan oleh Politeknik-KPT yang dihadiahkan dengan pukulan penalti stroke apabila Mohamad Shazwi Rani menyempurnakan pukulan tersebut pada minit ke-11.

UITM-KPT yang turut dihadiahkan dengan pukulan penalti stroke kembali dihadapan apabila Kavin Kartik Govindasamy menyudahkan pukulan tersebut pada minit ke-19 sekaligus menyaksikan perlawanan separuh masa pertama berpihak kepada UITM-KPT 2-1.

Politeknik-KPT mempunyai peluang terbaik untuk kembali mengikat kedudukan pada suku ketiga apabila dihadiahkan dengan pukulan penalti stroke namun, pukulan Mohamad Shazwi Rani berjaya untuk dibaca oleh penjaga gol UITM-KPT, Mohamad Adi Fazri Ab Rahim.

Nor Azrul Abd Rahman memuktamatkan kemenangan buat UITM-KPT selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-58 dan keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, skuad bimbingan Dr Thaitchana Muruthi Subramania Velalar yang ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama bangkit untuk memenangi perlawanan apabila menewaskan SSTMI 5-2.

Muhammad Shahhairul Rusyaidi Abdullah terlebih dahulu meletakkan SSTMI dihadapan pada minit ke-12 sebelum Mohd Syawal Najmi Amiruddin menggandakan jaringan buat SSTMI pada minit ke-25 untuk meletakkan mereka selesa di hadapan pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun kedudukan tersebut tidak bertahan lama apabila dua jaringan pukulan sudut penalti pada minit ke-41 dan ke-45 yang disempurnakan oleh Ahmad Shabaz membantu Kedah Hockey Team-NI untuk mengikat kedudukan pada suku ketiga.

Mohd Fahmi Nasir terus meletakkan Kedah Hockey Team-NI dihadapan pada minit ke-54 dan berselang seminit kemudian giliran Nur Rahul Hrsikesa Thaitchana Muruthi untuk mengukuhkan kedudukan dengan gol keempat.

Beberapa saat sebelum masa sebenar perlawanan tamat, Nur Rahul Hrsikesa sekali lagi meledak gol buat Kedah Hockey Team-NI dan perlawanan tamat dengan kemenangan buat Kedah Hockey Team-NI, 5-2.

 

TNB Liga Hoki Malaysia (Divisyen Satu)

Final
Politeknik KPT 1 UITM KPT 3

Tempat ke-3/4
Kedah Hockey Team-NI 5 SSTMI 2

Recent Posts

Leave a Comment