Piala Presiden 2018: UITM Julang Trofi Piala Presiden

UITM-KPT berjaya memutlakkan kemenangan Piala Presiden 2018 menewaskan Politeknik-KPT, 4-2 menerusi penentuan penalti shoot-out apabila aksi sebenar tamat dengan keputusan seri, 1-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

UITM-KPT dan Politeknik-KPT berkongsi wang kemenangan sebanyak RM 25, 000 untuk setiap pasukan selepas perlawanan sebenar tamat dengan keputusan seri.

Kecemerlangan empat pemain UITM-KPT, Muhammad Shahfirul Aqmal Mohd Saiful, Mohd Nor Aqmal Abdul Gaffar, Muhd Azwar Abd Rahman dan Muhammad Asraf Zulzali menyempurnakan pukulan sudut penalti membantu UITM untuk muncul juara selain kehebatan penjaga gol, Mohamad Adi Fazri Ab Rahim menidakkan satu pukulan stroke dan pukulan penalti shoot-out.

UITM bagaimanapun terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan awal pasukan lawan menerusi gol padang Oh Seyong minit ketiga selepas bijak untuk memperdayakan penjaga gol Mohamad Adi Fazri.

Jaringan tersebut nyata tidak mematahkan semangat pemain-pemain UITM-KPT untuk bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-20 menerusi jaringan padang Muhd Azwar Abd Rahman untuk menamatkan aksi separuh masa pertama dengan kedudukan seri 1-1.

UITM-KPT hampir menggandakan jaringan pada suku keempat namun bola hantaran Hairul Nizam Abd Rani dari sebelah kanan pintu gol lawan untuk mencari Muhammad Shahfirul Aqmal Mohd Saiful yang bersedia di kiri pintu gol lawan berjaya untuk dihalang penjaga gol Politeknik-KPT, Muhammad Nur Ariff Hamda.

Dalam pada itu pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat yang menemukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Kedah Hockey Team-NI, menyaksikan jaringan tunggal Nur Rahul Hrsikesa Thaitchana Muruthi membantu Kedah Hockey Team-NI untuk muncul pemenang tempat ketiga.

Walaupun MBI dihadiahkan dengan 10 pukulan sudut penalti, namun kelebihan tersebut gagal untuk diterjemahkan kepada jaringan sementara lima pukulan sudut penalti yang diperolehi oleh Kedah Hockey Team-NI juga tidak berjaya untuk membantu mereka menggandakan jaringan.

Nur Rahul Hrsikesa dinobatkan selaku penjaring terbanyak selepas meledak 13 gol sepanjang kejohanan dengan 12 gol menerusi jaringan padang sementara satu gol menerusi pukulan sudut penalti membawa pulang wang tunai RM 1,000.

 

Keputusan Akhir Piala Presiden

Tempat Ketiga dan keempat
Majlis Bandaraya Ipoh 0 Kedah Hockey Team-NI 1

Perlawanan akhir
UITM-KPT 1 Politeknik-KPT 1
*UITM-KPT muncul juara menerusi penentuan shoot-out 4-2.

 

Piala Presiden
Anugerah

Juara: UITM-KPT
Naib Juara: Politeknik-KPT
Tempat Ketiga: Kedah Hockey Team-NI
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Mohd Hanip bin Che Halim (Politeknik-KPT)
Penjaring Terbanyak: Nur Rahul Hrsikesa Thaitchana Muruthi – 13 Gol (Kedah Hockey Team-NI)
Fairplay: MSNT – PHT

Recent Posts

Leave a Comment