
Blue Warriors mencipta sejarah tersendiri dengan muncul juara TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025, Wanita, sekaligus meraih gelaran juara kedua mereka musim ini selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Territory Stingers.
Pada perlawanan di Stadium Hoki KPM, Lembah Pantai, jaringan tunggal Nur Afiqah Syahzani Azhar menerusi gol padang pada minit ke-16, sudah cukup untuk memastikan Blue Warriors mengekalkan rekod bersih tanpa tewas.
Kemenangan keenam itu membolehkan Blue Warriors mengumpul mata penuh sebanyak 18 mata sekali gus dinobatkan selaku juara dengan penuh bergaya.
Saingan liga musim ini juga menyaksikan Blue Warriors menjaringkan 29 gol dan hanya melepaskan 1 gol ketika bertemu Qnet Phoenix.
Ketua Jurulatih Blue Warriors, Megat Azrafiq Megat Termizi menjadi antara individu paling gembira untuk menyaksikan anak buahnya muncul juara pada edisi ini.
Beliau mengakui kejayaan ini tidak akan mampu dicapai tanpa sokongan dan kerja keras daripada semua pihak di dalam pasukan.
“Alhamdulillah kita berjaya mengesahkan kejuaraan liga. Ini kejuaraan kali pertama buat PDRM Blue Warrriors.
“Tentunya satu pencapaian yang sangat membanggakan. Sudah pasti kredit buat semua pemain atas kesungguhan serta komitmen yang tinggi telah dipamerkan mereka sepanjang liga.
“Menjadi juara dengan rekod kemenangan bersih, pastinya satu pencapaian cukup manis buat semua yang terlibat dalam pasukan,” katanya selepas perlawanan.
Satu lagi aksi wanita, menyaksikan Negeri Sembilan berpesta gol dengan menundukkan Mutiara-MSSPP-PSHA-PKS UNITEN 13-0 di Bertam.
Dalam pada itu, bagi kategori Premier, Terengganu Hockey Team (THT) tidak mempunyai masalah untuk menjinakkan Nurinsafi Sporting 5-1 di Bertam manakala UiTM HA-KPT mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Liaoning Men’s Hockey Team.
Sementara itu, Maybank yang kembali meneruskan saingan liga selepas kembalinya tujuh pemain yang bersama pasukan hoki dalam dewan ke Piala Dunia, Croatia sebelum ini, berjaya menewaskan TNB Thunderbolts 3-1 manakala Matador Hockey Club melakar kemenangan besar 8-1 ke atas Territory Stingers.
Terengganu Hockey Team kini menerajui kedudukan teratas liga dengan mengumpul 24 mata hasil lapan kemenangan manakala Tenaga Nasional Berhad di kedudukan kedua dengan mengumpul 21 mata menerusi tujuh menang dan satu tewas.