Young Tigress, Perak dan Pulau Pinang memperoleh keputusan positif setelah mencapai kemenangan pada hari pertama TNB Piala Tun Abdul Razak edisi ke-9 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.

Di bawah kendalian jurulatih Lailin Abu Hassan, Young Tigress menewaskan Melaka 3-1 pada perlawanan Kumpulan B manakala perlawanan Kumpulan A menyaksikan Pulau Pinang menang tipis 1-0 ke atas Johor dan Perak menewaskan Pahang 2-1.

Jaringan Nur Shamine Azureen dan Zati Alyani Muhamad Zubir menyaksikan Young Tigress mendahului 2-0 menerusi pukulan sudut penalti dan jaringan padang, masing-masing pada minit ke-25 dan minit ke-30.

Siti Nur Irdina menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-42 menerusi pukulan sudut penalti, bagaimanapun Melaka cuba untuk mengurangkan jurang 1-3 pada minit ke-59 menerusi jaringan padang Nur Shafika Mohd Sharuddin namun ia tidak cukup menidakkan kemenangan Young Tigress.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Pengurus Young Tigress, Dato’ Mohd Saiyuti Abd Samat, yang juga merupakan Presiden Persatuan Hoki Perak berkata, beliau sedikit kecewa dengan persembahan pasukannya, meskipun menang, kerana mereka boleh bermain dengan lebih baik.

“Saya tidak puas hati dengan persembahan mereka. Jaringan tidak penting. Mereka sepatutnya bermain lebih baik. Bagi saya, persembahan mereka tidak mencapai tahap yang dikehendaki sebagai pasukan kebangsaan. Ini perlawanan pertama mereka dan saya harap mereka dapat bermain baik menentang Kuala Lumpur, esok (3 Okt).’

“Kita perlu bermain sebagai pasukan kebangsaan dan keputusannya juga harus mencerminkan sebagai pasukan kebangsaan. Mereka sepatutnya menjaringkan banyak gol. Mereka perlu mencipta lebih banyak sudut penalti dan cara penghantaran bola juga lemah. Saya harap kelemahan-kelemahan ini dapat diperbetulkan dan pasukan ini dapat menunjukkan taring0 pada kejohanan ini,” kata Dato’ Mohd Saiyuti.

Bekas pemain kebangsaan Iren Husin, yang merupakan pemain jemputan untuk Pahang, menyumbang gol padang pada minit ke-29 bagi membolehkan pasukan pantai timur itu mendahului 1-0. Jaringan itu nyata melonjakkan semangat pemain Perak untuk bagkit mengejar dan melancarkan beberapa serangan balas.

Perak menyamakan kedudukan menerusi gol padang Dian Nursyakira Najwa pada minit ke-42 dan dua minit kemudian beliau sekali lagi melebarkan kedudukan 2-1 yang juga merupakan gol kemenangan Perak.

Gol tunggal minit ke-33 hasil gerakan padang oleh Nurfitrah Nadhia Shamsudin menyaksikan membantu Pulau Pinang untuk menutup aksi sulung dengan mengutip tiga mata selepas menewaskan tuan rumha, Johor, 1-0.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ketinggalan 1-2 terpaksa berhempas pulas untuk mencapai keputusan seri 2-2 menentang Kuala Lumpur.

Jaringan padang Nur Zafirah Aziz pada minit ke-37 meletakkan Kuala Lumpur di depan tetapi ATM kembali menyamakan kedudukan menerusi Noor Zubaidah Naszemi pada minit ke-39.

Gol pemisah Kuala Lumpur hadir pada minti ke-50 selepas adik kepada pemain pasukan kebangsaan (Shello Silverius) iaitu Flovenia Silverius menyempurnakan gol pukulan sudut penalti untuk meletakkan Kuala Lumpur kembali di hadapan 2-1.

Bagaimanapun, ATM memusnahkan harapan Kuala Lumpur untuk membawa pulang tiga mata selepas kelebihan penalti stroke yang diraih pada minit ke-55 disempurnakan oleh Kapten Pasukan Kebangsaan, Juliani Mohamad Din, sekaligus memaksa kedua-dua pasukan berpuas hati dengan berkongsi satu mata.

Tags: