The Speedy Tigers terpaksa berdepan dengan satu lagi keputusan yang tidak diinginkan ketika bertemu Great Britain, hari ini, selepas tewas 1-4 pada aksi kedua Pool A, Perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024, (Lelaki) Oman.
Selepas dua perlawanan, Great Britain menjadi pasukan pertama daripada Pool A melangkah ke separuh akhir sementara perlawanan terakhir Pool A akan menentukan sama ada Malaysia bakal menamatkan saingan kumpulan di kedudukan kedua dan melangkah ke separuh akhir atau sebaliknya.
Perlawanan terakhir Pool A akan menemukan Malaysia dengan Pakistan dan aksi tersebut akan berlangsung pada awal pagi Jumaat (19 Jan 24) jam 12:45 tengah malam (waktu Malaysia) atau jam 8:45 malam (waktu Oman – 18 Jan 24).
Pertemuan dengan Great Britain hari ini menyaksikan aksi separuh masa pertama, Malaysia dan Great Britain saling mengatur serangan dalam usaha untuk mencari jaringan awal. Malaysia terlebih dahulu dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pada minit ketiga namun flik Muhammad Firhan Ashari diselamatkan penjaga gol Great Britain.
Great Britain dalam separuh masa pertama telah dihadiahkan dengan lima pukulan sudut penalti dan kelebihan keempat yang dimiliki menghadiahkan gol pertama mereka selepas set-piece yang dirancang disudahkan oleh Will Calnan pada minit ke-19.
Tidak berdiam, Malaysia terus menyusun strategi menyerang dan hasilnya empat pukulan sudut penalti berturut-turut diterima pasukan negara dengan pukulan sudut penalti terakhir pada minit ke-26, diterjemahkan kepada jaringan oleh Muhammad Shahril Saabah sekaligus menutup aksi separuh masa pertama dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Pada separuh masa kedua, Great Britain terus mengasak kubu pertahanan pasukan Malaysia untuk mencari gol kedua dan mereka berjaya mendapatkan pukulan sudut penalti keenam. Minit ke-32, Sam Watt yang melakukan flik rendah di bahagian kiri pintu gol Malaysia berjaya menewaskan penjaga gol negara, Muhammad Hafizuddin Othman, sekaligus meletakkan Great Britain kembali di hadapan.
Usaha menambah gol Great Britain tidak terhenti disitu dan mereka terus mengasak kubu pertahanan Malaysia. Hasilnya mereka berjaya mendapatkan gol ketiga menerusi jaringan padang yang disumbangkan oleh Zachy Wallace pada minit ke-39 untuk kedudukan berubah menjadi 3-1.
Great Britain dilihat terus menggandakan asakan ke kawasan gol Malaysia untuk menambah jaringan, namun barisan pertahanan Malaysia berjaya mengekang asakan mereka. Beberapa percubaan bahaya dilakukan oleh barisan serangan Great Britain, tetapi, ketangkasan penjaga gol Malaysia Hafizuddin Othman, berjaya menidakkan percubaan-percubaan tersebut.
Selepas berhempas pulas mengasak gawang negara, gol keempat Great Britain terhasil menerusi gerakan padang Sam Watt yang juga merupakan gol perbadi keduanya pada minit ke-58, sekaligus menjadikan kedudukan akhir perlawanan 4-1 berpihak Great Britain.